Berita

Kerjasama Antara UMNO, PKR Dan DAP Pasti Gagal – Annuar Musa

137views

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Sebarang kerjasama membentuk kerajaan antara UMNO dengan parti liberal dan sosialis seperti PKR serta DAP, dilihat akan membawa kepada kegagalan berikutan ideologi yang jauh berbeza.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia berbeza dengan kerjasama UMNO, PAS serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang memiliki ideologi sama, iaitu perjuangan berasaskan orang Melayu dan Islam.

“Ini berbanding parti liberal seperti PKR yang tidak beragendakan Melayu dan Islam. DAP adalah parti sosialis, ia tidak beragendakan Melayu dan Islam,” katanya dalam wawancara ‘UMNO: Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)’ di TV Pertiwi, malam tadi.

Kelmarin, dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan partinya berkemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO selepas wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti itu.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menegaskan, kerjasama dalam politik perlu memiliki ikatan yang kukuh dan bukan atas konsep ‘marriage of convenience’ atau mahu meraih jumlah kerusi Parlimen mencukupi untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) semata-mata.

“Kenapa UMNO, PAS dan BERSATU boleh diikat? Kerana berkongsi dasar yang sama, Melayu dan Islam, di samping tidak menafikan kepentingan kaum lain. Ada titik persamaan, walaupun ada banyak juga perbezaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan berkata, perbincangan awal berkenaan membabitkan pimpinan kedua-dua parti dan menunjukkan perkembangan positif.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, walaupun terdapat ahli dan pemimpin Melayu dalam PKR serta DAP, ia bukan jaminan ikatan kerjasama yang berpanjangan dengan UMNO.

Sebagai contoh, beliau berkata, prinsip kesamarataan diperjuangkan DAP adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dipegang UMNO yang berpandukan ajaran Islam.

“Itu pernah berlaku pada BERSATU yang membawa roh serta semangat UMNO dalam diri mereka dan duduk dengan Pakatan Harapan (PH), akhirnya mengalami pertembungan besar sehingga membawa kepada perpecahan.

“Begitu juga PAS pernah cuba menjadi kawan kepada DAP, namun tidak dapat mengelakkan pertembungan kerana ideologi berbeza.

“Dalam hal tertentu, mungkin boleh bekerjasama antara apa-apa parti.

“Namun jika untuk membentuk dan mendukung kerajaan dengan bergabung, kerjasama sebegini adalah formula yang pasti gagal,” katanya.

Source Link