Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKerjasama PTPTN, YPM perkasakan pendidikan pelajar golongan asnaf

Kerjasama PTPTN, YPM perkasakan pendidikan pelajar golongan asnaf

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM150,000 kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Sumbangan itu merangkumi Program Pintar@KPLB-PTPTN sebanyak RM74,000, Skim Anak Angkat PTPTN (RM72,000) dan sumbangan untuk Akaun Simpan SSPN Prime (RM4,000).

Penyerahan sumbangan dilaksanakan dalam Majlis Pengumuman Program Kerjasama PTPTN dan YPM di Menara PTPTN di sini yang merupakan simbolik kerjasama perbadanan itu sebagai Rakan Penyumbang Pendidikan YPM 2021-2026.

Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata perbadanan itu sentiasa proaktif dan mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengadakan program tanggungjawab sosial korporat serta memastikan sumbangan yang diberikan merangkumi pelbagai golongan sasar.

“Menerusi sumbangan ini, saya optimis pelbagai program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar serta mencapai matlamat yang dihasratkan iaitu mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“Ini sekali gus memastikan akses pendidikan yang sama rata untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana kecemerlangan negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi YPM Datuk Mohd Razman Yaacob berkata kolaborasi yayasan itu bersama PTPTN mampu melahirkan pelajar berjaya dan berkebolehan dalam pelbagai bidang selain bekerjaya hebat serta memiliki skil tinggi untuk masa depan sesuai dengan kemajuan serta pembangunan negara.

PTPTN pula memaklumkan Program Pintar@KPLB-PTPTN akan dilaksana di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi, Kedah dan MRSM Kuala Krai, Kelantan melibatkan kelas bimbingan yang akan memberi manfaat kepada 200 pelajar pada tahun ini.

Menurut PTPTN, program itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar daripada keluarga B40 memperoleh akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik.

“Bagi Program Skim Anak Angkat, PTPTN memberi sumbangan elaun persekolahan kepada 20 anak angkat terpilih berumur 13 tahun selama tiga tahun dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

“Setiap anak angkat akan menerima elaun persekolahan sebanyak RM1,200 setiap tahun selain  sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara sekali beri sebanyak RM200,” menurut kenyataan itu.

PTPTN memaklumkan jalinan kerjasama PTPTN dan YPM diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar daripada golongan B40 manakala pemberian sumbangan mampu mengurangkan beban kewangan mereka yang memerlukan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular