Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKerjaya Prospek optimis mengenai pertumbuhan, disokong oleh permintaan tinggi terhadap hartanah

Kerjaya Prospek optimis mengenai pertumbuhan, disokong oleh permintaan tinggi terhadap hartanah

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Kerjaya Prospek Group Bhd optimis mengenai prospeknya pada tahun ini, disokong oleh aktiviti pembinaan yang baik, didorong oleh permintaan yang meningkat terhadap hartanah dan pelannya untuk melancarkan lebih banyak projek pada masa depan.

Pengerusi Eksekutif Datuk Tee Eng Ho berkata pendapatan daripada pembinaan meningkat sebanyak 11.5 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama pada tahun ini, berikutan bil peringkat siap yang tinggi daripada aktiviti pembinaan yang meningkat dalam tempoh tersebut.

“Segmen pembinaan dijangka menjadi penyumbang terbesar kami pada masa depan dan kami menjangka segmen nilai perolehan kontrak akan meningkat daripada paras semasa sebanyak RM1.6 bilion,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan suku pertama syarikat berakhir 31 Mac 2022 di sini hari ini.

Nilai perolehan kontrak terkumpul segmen pembinaan Kerjaya Prospek berjumlah RM4.4 bilion, dan RM2.2 bilion daripada projek berkaitan kumpulan.

Tee juga berkata walaupun pendapatan lebih tinggi dicatatkan dalam tempoh tersebut, margin keuntungan pada suku pertama 2022 merosot kepada 9.6 peratus daripada 9.8 peratus dicatatkan pada suku pertama 2021.

“Margin keuntungan terjejas oleh kenaikan kos bahan mentah dan kami menjangkanya akan kekal di rantau ini,” katanya, sambil menambah syarikat mendapat bahan mentah di peringkat tempatan.

Mengulas lanjut, Tee berkata perkembangan luaran seperti sekatan pergerakan di China, konflik Ukraine-Rusia dan gangguan rantaian bekalan memberi impak yang besar kepada harga bahan mentah di seluruh dunia.

“Harga hanya akan turun jika keadaan bertambah baik…Sehingga itu, industri akan terus bergelut,” katanya.

Sementara itu, pada suku pertama 2022, keuntungan bersih Kerjaya Prospek meningkat kepada RM28.86 juta daripada RM26.39 juta dicatatkan pada suku tahun sama pada tahun lepas manakala pendapatan naik kepada RM300.59 juta daripada RM268.67 juta sebelum ini.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular