Kes demam denggi di P.Pinang meningkat 248.1 peratus

GEORGE TOWN, 21 Dis (Bernama) — Kes demam denggi di Pulau Pinang merekodkan peningkatan 248.1 peratus iaitu 1,347 kes dicatatkan sejak Januari hingga 17 Dis lepas berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu hanya 387 kes.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Ma’arof Sudin berkata satu kematian dilaporkan pada tahun ini manakala jumlah kes pada tahun ini lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum pandemik COVID-19 pada 2019, iaitu sebanyak 4,061 kes direkodkan, ketika itu penurunan sebanyak 66.8 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata pihaknya telah menjalankan pelbagai aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

“Sebagai contoh, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan, dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal atau wabak,” katanya.

Menurutnya sehingga 17 Dis lepas, 484,640 premis telah diperiksa dan 905 kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154) dengan nilai RM452,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan nyamuk aedes.

Menurutnya bagi memastikan demam denggi tidak terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab antaranya bekerjasama membersihkan kawasan persekitaran masing-masing.

BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button