Berita

Kes Penderaan : JKM Pohon Hak Penjagaan Sementara Dua Adik Amir

190views

MELAKA, 31 Jan  — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan sementara terhadap dua adik-beradik kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, Jumaat lepas.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar berkata permohonan itu akan dibuat esok bagi memastikan kebajikan dua beradik tersebut terpelihara berikutan insiden menyayat hati yang berlaku dalam keluarga terbabit baru-baru ini.

“Suspek dikatakan mempunyai tiga lagi anak dan seorang daripada mereka dijaga oleh nenek wanita berkenaan manakala dua lagi (selain mangsa) tinggal bersamanya.

“JKM Melaka akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan sementara untuk menjaga kedua-dua adik-beradik ini sehingga kes berkenaan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun menziarahi ibu angkat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera, Norlida Abu Hassan, 50, di sebuah inap desa di Jalan Sungai Putat di sini hari ini.

Bagaimanapun, Latipah tidak mendedahkan jantina dan umur adik-beradik mangsa yang lain.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya di sini.

Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian pada kira-kira 4 petang namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Proses bedah siasat dijangka selesai malam ini.

Source link