Berita

Kes Penderaan Kanak-Kanak : Ibu Bukan Pesakit Mental

89views

MELAKA, 31 Jan  — Suspek wanita berumur 32 tahun yang dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun sehingga mati dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya di sini, Jumaat lepas bukan pesakit mental walaupun pernah mendapatkan rawatan psikiatri pada 2019.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata suspek hanya mendapatkan rawatan psikiatri biasa di Hospital Melaka dan bukan disahkan sebagai pesakit mental sebagaimana didakwa kebanyakan pihak.

“Polis tidak memperoleh laporan khusus mengatakan suspek mempunyai masalah mental dan wanita berkenaan juga tidak mempunyai kad orang gila.

“Suspek juga tidak pernah mendapatkan rawatan di mana-mana hospital bahagia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sepasang suami isteri, masing-masing berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes dera sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

Kanak-kanak malang tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, pada Jumaat lepas namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan setakat ini, bedah siasat masih dijalankan ke atas mayat kanak-kanak malang tersebut.

— BERNAMA

Source Link