info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kes Positif COVID-19 Perlu Dimaklumkan Kepada PKD Dalam Tempoh 24 Jam

82views

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Semua kes positif COVID-19 perlu dinotifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran dalam tempoh 24 jam bagi memudah cara tindakan kawalan dan pencegahan dalam komuniti dilakukan.

Susulan itu, mereka yang positif diminta menyampaikan maklumat berkenaan kepada semua pengamal perubatan di klinik, hospital dan makmal kerajaan serta swasta yang terbabit dalam menjalankan ujian dan pengurusan kes COVID-19 serta lain-lain penyakit berjangkit bagi membolehkan ia disalurkan segera kepada PKD.

Dalam surat edaran dikeluarkan Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM), menjelaskan kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan penalti mengikut peruntukan Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Katanya, notifikasi itu perlu dibuat pengamal perubatan mengikut Subseksyen 10(2) Akta 342 berkenaan.

“Atas keperluan itu juga, setiap borang permohonan ujian makmal berkenaan perlu dicop dan ditandatangani oleh pengamal perubatan berdaftar bagi tujuan notifikasi,” katanya.

Surat arahan bertarikh 28 Disember lalu itu ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan mendadak kes COVID-19 di Selangor khususnya yang diumumkan KKM semalam, antara lain disebabkan ‘backlog cases’ atau kes tertunggak.

Kes berkenaan adalah daripada saringan pekerja kilang, penjara dan di klinik serta hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus ataupun ‘real time’.

Sehubungan itu, Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, sudah mengeluarkan arahan segera kepada semua PKD di Selangor membuat notifikasi dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, mereka perlu membuat notifikasi bagi kes disahkan dan berkemungkinan positif melalui sistem dalam talian e-Notifikasi KKM dalam tempoh 24 jam selepas keputusan sampel nasopharyngeal swab diterima.

Surat arahan kepada semua PKD Selangor itu dikeluarkan pada 26 Januari lalu.

Source Link