info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Perniagaan

Kesan Gelombang Ketiga COVID-19 Terhadap PKS

107views

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Kesan gelombang ketiga Covid-19 terhadap ekonomi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilihat bergantung kepada tindakan kerajaan.

Prof Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Saifuzzaman Ibrahim berkata, pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu, banyak PKS terkesan akibat permintaan yang merudum dan kesukaran mendapatkan sumber untuk pengeluaran.

Katanya, ini juga memberi kesan negatif kepada pekerja yang diberhentikan bagi pengurangan kos dan juga untuk keadaan lebih ekstrem, pekerja terpaksa berhenti kerana PKS berkenaan terpaksa menghentikan operasi.

“Kesan Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia pada tempoh PKP pertama adalah hebat sehingga pertumbuhan menjadi negatif kerana dua faktor utama iaitu pelaksanaan PKP itu sendiri yang secara langsung menghalang banyak aktiviti ekonomi dari pelbagai sektor untuk bergerak atau cuma berjalan dengan kadar perlahan.

“Keduanya adalah kerisauan rakyat sendiri untuk membabitkan diri dalam aktiviti ekonomi kerana khuatir dijangkiti Covid-19.

“Namun ekonomi mula bergerak kembali (walaupun tidak seperti sebelum pandemik) selepas kerajaan melonggarkan syarat PKP.

“Permintaan dalaman terutamanya mula meningkat dan memberi peluang untuk perniagaan termasuk PKS untuk bernafas semula walaupun keadaan perniagaan masih lagi belum pulih.

“Bagaimanapun, gelombang ketiga Covid-19 ini memberi semula cabaran kepada ekonomi dan juga kepada operasi PKS dan nasib pekerja mereka,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, gelombang ketiga berlaku selepas tujuh ke lapan bulan PKP Mac 2020 dilaksanakan.

Dr Saifuzzaman berkata, ini bermakna keadaan kewangan PKS sekarang dalam keadaan yang masih sukar dan mungkin lebih sukar daripada sebelumnya.

“Namun, kesediaan rakyat secara mental dan emosi mungkin lebih baik kerana sudah terbiasa dengan keadaan terbabit.

“Ini adalah satu aspek positif bagi membantu permintaan domestik negara,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan semula PKP, walaupun ia boleh membantu mengurangkan penyebaran wabak Covid-19, PKP itu juga berkemungkinan besar memberi kesan negatif yang hebat ke atas ekonomi.

“Apa yang boleh dilakukan dengan menjalankan PKP untuk kawasan tertentu yang mempunyai kes Covid-19 tinggi saja dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh peniaga dan orang ramai di kawasan yang lain.

“Ini untuk membantu meningkatkan keyakinan rakyat untuk bersama-sama bergerak dalam aktiviti ekonomi.

“Kerajaan juga perlu memikirkan kaedah urus niaga baharu yang kurang membabitkan perjumpaan seperti urus niaga dalam talian,” katanya.

Katanya, fasiliti bagi operasi dan urus niaga dalam talian perlu dibangunkan atau dimajukan bagi membantu operasi perniagaan termasuk PKS.

“Ini kerana kita tidak dapat memastikan bilakah Covid-19 ini akan lenyap.

“Oleh itu ekonomi perlu bersedia dengan kaedah operasi dan urus niaga yang kalis Covid-19 atau wabak lain.

“Kerajaan juga perlu membuat penjimatan pada sektor atau aktiviti yang mempunyai spinning effect yang rendah dan bersifat jangka panjang.

“Dana yang dijimatkan ini boleh disalurkan kepada aktiviti atau sektor yang mempunyai spinning effect lebih tinggi dan meluas serta operasi yang membabitkan rakyat secara terus.

“Malah, bantuan gaji pekerja juga mungkin boleh diteruskan tetapi dengan kadar lebih rendah berbanding sebelum ini kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan,” katanya.

Source link