Berita

Ketua Pegawai Media BN Digantung Tugas Serta Merta

151views

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Barisan Nasional (BN) mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi membincangkan mengenai siaran kenyataan media Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap kurang tepat, selain tidak memperoleh kelulusan Sekretariat Dewan Tertinggi BN.

Setiausaha Eksekutifnya, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, berkata ini kerana berlaku kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan berikutan kekhilafan seorang pegawai di Sekretariat BN.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa turut menggantung tugas ketua pegawai media BN selama sebulan berkuat kuasa serta-merta untuk menjalankan siasatan.

“Merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi BN bertarikh 4 Mac 2021, Ahmad Zahid memaklumkan ada sedikit kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan atas kekhilafan pegawai di Sekretariat Barisan Nasional.

“Sehubungan itu, saya sudah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalam pada pagi ini bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi BN terlebih dulu serta kurang tepat sebagaimana yang diperbincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Jadi, selepas mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, saya menggantung tugas ketua pegawai media BN bagi tempoh satu bulan berkuat kuasa serta-merta.

“Ini bagi membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, BN menerusi Pengerusinya, Ahmad Zahid merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan segera.

Ahmad Zahid turut mengesyorkan ahli Dewan Rakyatnya supaya menyeru Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menghormati titah baginda supaya sidang Parlimen diadakan segera, lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Istana Negara dalam kenyataan sebelum ini menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Source Link