info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Keuntungan bersih suku ketiga MR DIY meningkat kepada RM113.45 juta

45views

KUALA LUMPUR, 5 Nov  — MR DIY Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM113.45 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 daripada RM73.62 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM740.23 juta daripada RM561.72 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Keputusan memberangsangkan itu disokong oleh purata jualan bulanan tinggi di setiap kedai, yang meningkat 7.0 peratus tahun ke tahun.

“Peningkatan keuntungan bersih itu adalah hasil daripada purata jualan bulanan yang lebih tinggi bagi setiap kedai, ditambah dengan perbelanjaan operasi yang lebih rendah sebagai peratusan pendapatan, yang menyusut daripada 18.4 peratus kepada 17.3 peratus pada suku semasa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY Adrian Ong berkata strategi masa hadapan syarikat adalah untuk terus menumpu mewujudkan pertumbuhan mampan dengan memperluaskan rangkaian kedai menerusi tiga jenama — MR DIY, MR TOY dan MR DOLLAR; yang akan menarik lebih ramai pelanggan ke kedainya bagi meningkatkan perolehan serta mengembangkan perniagaan e-dagangnya.

“Kami berbesar hati melaporkan keputusan suku ketiga yang lebih kukuh meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran operasi semasa. Pandemik COVID-19 telah memberi impak pada kehidupan dalam pelbagai bentuk, dan mungkin terutamanya dalam tingkah laku pengguna.

“Sebagai sebuah syarikat tempatan yang mengutamakan kehendak para pelanggan kami, kami sedar kepentingan dalam menyediakan keselesaan, pilihan, akses yang mudah dan produk berkualiti kepada rakyat Malaysia yang dihargai, lebih-lebih lagi pada masa yang mencabar ini apabila ramai pihak yang menerima kesannya,” tambahnya.

— BERNAMA

Source link