info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Keuntungan bersih suku pertama Affin Bank susut kepada RM68.94 juta

95views

KUALA LUMPUR, 25 Mei  — Affin Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih rendah sebanyak RM68.94 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2021, berbanding RM123.57 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil susut kepada RM537.63 juta daripada RM624.80 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Affin Bank berkata keuntungan bersih yang rendah itu disebabkan terutamanya oleh keuntungan rendah daripada aset perbendaharaan berbanding tahun sebelumnya dan perbelanjaan peruntukan tambahan berikutan kesan yang berpanjangan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Ini telah diimbangi oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi dan pendapatan daripada perniagaan perbankan Islam yang masing-masing meningkat 11.1 dan 7.7 peratus,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata kumpulan itu menyedari risiko negatif berterusan akibat pandemik itu yang boleh menjejaskan perniagaan perbankan.

“Strategi perniagaan kumpulan akan terus mengekalkan amalan pengurusan risiko yang berhemat dan langkah-langkah mengekal kos untuk membendung sebarang ketidakpastian dan perubahan dalam persekitaran operasi.

“Kumpulan juga akan memastikan kedudukan modal yang kukuh untuk melindungi daripada sebarang tekanan kewangan yang disebabkan oleh pandemik ini,” katanya.

— BERNAMA

Source link