info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kilang Proses Ayam Sejuk Beku Didenda RM35,000

36views

SHAH ALAM, 19 Feb — Sebuah kilang memproses ayam sejuk beku di Tanjung Karang didenda sebanyak RM35,000 selepas didapati gagal mematuhi had piawai yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata denda berkenaan dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini.

“Hakim Razali Ariffin telah menjatuhkan hukuman itu terhadap wakil syarikat selaku Orang Kena Saman yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Aziah pada 27 Feb 2019, syarikat berkenaan didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi satu parameter di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 iaitu kandungan pepejal terampai mempunyai kepekatan sebanyak 190 migram seliter (mg/l) melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 100 mg/l.

“Berdasarkan fakta kes dan eksibit-eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, Hakim Razali telah menjatuhkan hukuman dengan denda sebanyak RM 35,000.00.

Terdahulu, pegawai pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Nor Faizura Mohd Ali dan Mohd Ridzuan Zainal memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam.

Source link