Kilang proses peleburan logam haram diserbu

KUALA KANGSAR, 15 Dis (Bernama) — Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyerbu sebuah kilang yang dikesan menjalankan aktiviti peleburan logam secara haram di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Tasek Perkasa dan Kampung Bekor di sini petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata siasatan awal JAS mendapati kilang berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti peleburan logam dengan menggunakan buangan terjadual SW110 (elektrik dan elektrikal) sebagai satu daripada bahan mentah.

“Premis ini kali pertama diserbu sejak beroperasi empat bulan lepas dan didapati tiada dalam senarai lesen sah untuk beroperasi, namun kita masih tidak dapat mengesan pemilik premis dan mengambil pendekatan mengesan pemilik tanah mengikut undang-undang sedia ada.

“JAS telah memantau kilang ini sejak 29 Nov lepas dan mereka hanya beroperasi pada waktu malam bagi mengaburi  pihak berkuasa, malah disyaki turut menggajikan pekerja asing apabila terdapat rumah-rumah kongsi di kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas Op Bersepadu Kilang Haram di Kuala Kangsar semalam.

Operasi bersepadu bermula 4.30 petang dan berakhir kira-kira 7 malam itu dijalankan bersama polis, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Kangsar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Jabatan Imigresen Malaysia Perak dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), namun tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sementara itu, Pengarah JAS Perak Rosli Zul berkata sampel daripada timbunan sisa peleburan akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti bahan buangan itu sebelum tindakan lanjut diambil.

“Pihak JAS akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan aktiviti tanpa kelulusan JAS dan Seksyen 19 akta sama kerana membina bangunan tanpa kelulusan.

“JAS juga akan menggunakan Seksyen 34A(2) akta sama iaitu tidak mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), malah kita turut akan mengambil tindakan mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan Peraturan-peraturan Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya.

Beliau berkata pihak PTD pula akan mengenal pasti pemilik tanah untuk menjalankan siasatan lanjut sekali gus mengenal pasti individu yang terlibat mengikut Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Sewaktu serbuan, kilang yang terletak lebih dua kilometer dari jalan utama itu bagaimanapun telah dikosongkan dan hanya meninggalkan peralatan, jentera dan sisa bahan yang telah diproses.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button