Berita

KKM, JKNS sentiasa pastikan PPE cukup untuk petugas kesihatan di Sabah

63views

KOTA KINABALU, 2 Nov  — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa membuat pemantauan teliti untuk memastikan bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) mencukupi untuk para petugas kesihatan, selain mengagihkannya mengikut keperluan semasa.

Pengarah JKNS Datuk Dr Christina Rundi dalam kenyataan hari ini berkata mobilisasi PPE daripada fasiliti yang mempunyai lebihan kuantiti juga dilakukan bagi menampung keperluan fasiliti yang lebih mendesak.

Menurutnya, KKM telah mengeluarkan garis panduan bagi memastikan penggunaan PPE sesuai dengan tugas yang perlu dilaksanakan serta pemakaian PPE dengan cara yang betul untuk mengelakkan pembaziran.

“Melalui semakan terkini, bekalan PPE di Sabah boleh bertahan selama 29 hari sehingga 97 hari bergantung kepada jenis PPE,” katanya, sekali gus menafikan dakwaan mengatakan petugas kesihatan di pedalaman terpaksa membeli PPE menggunakan wang sendiri seperti dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

Dr Christina berkata isu seperti yang didakwa itu tidak timbul dan beliau menyarankan pihak media terbabit mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak pengurusan hospital bagi mengetahui situasi sebenar dan bukannya hanya bergantung kepada maklumat daripada individu di kemudahan kesihatan berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Christina berkata, KKM telah menyalurkan peruntukan khas RM25 juta bagi pembelian PPE di Sabah, dan daripada jumlah itu, JKNS telah menggunakan RM18 juta bagi mendapatkan perolehan tambahan bekalan PPE secara berpusat.

Beliau berkata peruntukan selebihnya iaitu RM7 juta telah diturunkan kepada semua hospital dan pejabat kesihatan untuk perolehan PPE di peringkat daerah.

“Bekalan PPE telah diterima secara berperingkat daripada pembekal dan seterusnya ia akan diagihkan kepada semua fasiliti di Sabah mengikut keperluan masing-masing.

Selain peruntukan diterima daripada KKM, JKNS juga turut menerima sumbangan PPE daripada kerajaan negeri, syarikat-syarikat, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

Source link