info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

KKM Nafi Beri Kelulusan Kepada Pihak Swasta Untuk Beli Atau Edar Vaksin COVID-19

31views

KUALA LUMPUR, 30 Jan — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan ada mengeluarkan kelulusan atau surat kebenaran kepada syarikat swasta atau pihak lain untuk membeli dan mengedar vaksin COVID-19.

KKM dalam kenyataannya hari ini berkata, ia merujuk kepada laporan di portal BH mengenai sebuah syarikat tempatan mendakwa menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dengan mana-mana syarikat dari China untuk mengimport dan mengedar vaksin di negara ini.

“Setakat ini, hanya KKM sahaja diberi kuasa untuk mengurus akses dan membeli vaksin COVID-19.

“Ia selaras dengan tugas KKM menguatkuasakan hal ehwal perubatan menerusi agensinya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan (NCD),” kata kenyataan itu.

Mestron Holdings Bhd (Mestron) semalam dilaporkan memeterai perjanjian utama dengan syarikat dari China, Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co Ltd (Zhongyu) bagi pengedaran vaksin COVID-19 di Malaysia.

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng, dilaporkan berkata syarikat itu sudah menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China bagi pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Source Link