KKM pantau proses tarik balik produk prego rosak

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan sedang memantau proses penarikan semula produk berjenama Prego keluaran Malaysia yang didapati rosak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan (665 gram) dengan nombor batch 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20.

“Pihak syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd telah mengenal pasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan turut menerima notifikasi dari syarikat berkenaan yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penarikan balik produk tersebut disebabkan terdapat tanda-tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah.

Dr Noor Hisham berkata pengguna yang telah membeli hendaklah tidak memakan produk tersebut dan bagi yang telah mengambilnya dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.

“Orang ramai disarankan mengamalkan lihat, hidu dan rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan. Sehubungan itu, penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan serta-merta,” katanya.

Orang awam digalakkan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, melayari laman web http://moh.spab.gov.my/ atau laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu berkenaan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button