info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

KKM Tambah 200 Pegawai Kaunseling

56views

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Kementerian Kesihatan (KKM) memperluas perkhidmatan kaunseling di peringkat kesihatan primer dengan menempatkan 200 pegawai psikologi kaunseling baharu di seluruh negara, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata insiatif itu bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan mental dan kaunseling kepada individu yang memerlukan, terutama dalam situasi COVID-19.

“Penjagaan kesihatan primer yang berkualiti dan mudah diakses adalah asas untuk liputan kesihatan sejagat dan sangat diperlukan ketika dunia bergelut dengan keadaan darurat kesihatan semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan itu akan turut menyokong perkhidmatan kaunseling sedia ada di agensi lain bagi memastikan perkhidmatan kesihatan mental dilaksanakan secara holistik di peringkat komuniti.

Dr Adham berkata antara inisiatif  lain yang disediakan KKM ialah perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPS) yang mendapat kerjasama Mercy Malaysia, bagi memberikan perkhidmatan sokongan psikososial dan kaunseling kepada komuniti dan masyarakat, termasuk kakitangan dan petugas kesihatan yang terlibat dalam menangani krisis COVID-19.

Katanya masyarakat juga boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental yang diberikan melalui empat institusi mental,1,001 klinik kesihatan, 66 hospital KKM dan 28 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat  (Mentari) di seluruh negara.

“KKM juga menyokong usaha untuk mendekriminalisasikan cubaan bunuh diri dan telah mengambil inisiatif untuk meletakkan agenda kesihatan mental dalam belanjawan negara,” katanya.

Beliau juga berkata usaha mempromosi dan mencegah masalah kesihatan mental perlu dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu melibatkan pelbagai individu dan organisasi.

Dalam pada itu, Dr Adham merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah  sebagai Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 oleh Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Usaha Yang Amat Mulia Tengku Puteri dalam mengetengahkan agenda kesihatan mental amatlah dihargai dan KKM amat berbesar hati dan berbangga dengan lantikan inI,” katanya.

BERNAMA