Sabtu, Jun 25, 2022
HomeArtikelKKN Desa Penari - Sejarah Badarawuhi

KKN Desa Penari – Sejarah Badarawuhi

KKN Di Desa Penari, itulah tajuk filem terbaru yang sedang hangat dipertontonkan di pawagam-pawagam berhampiran. Ada yang mengatakan filem itu menyeramkan sehingga terngiang-ngiang irama muziknya selepas menonton filem itu, ada juga yang ternampak-nampak sosok Badarawuhi berlegar-legar disekelilingnya, malah ada yang mendakwa bahawa berlakunya kejadian dimana penonton dirasuk ketika menonton filem itu.

Tahukah anda, filem KKN Di Desa Penari diadaptasi daripada kisah benar yang berlaku di Indonesia. Antara watak ‘hantu’ yang utama didalam filem itu bernama Badarawuhi. Siapakah Badarawuhi ini? Kenapa ianya membawa unsur seram apabila namanya disebut oleh masyarakat?

Dari bacaan penulis, Badarawuhi merupakan jelmaan yang sangat cantik dan digambarkan sebagai seorang penari yang bertubuh ular dan memakai selendang. Menurut Om Hao, seorang Youtuber Indonesia, didalam siarannya yang bertajuk Cerita Tanah Jawa ada mengatakan bahawa kisah Desa Penari itu merupakan kisah benar yang berlaku di sebuah lokasi yang bernama Rowo Bayu. Ianya berada di Desa Bayu, daerah Banyuwangi, Jawa Timur.

Badarawuhi dikisahkan sebagai ratu penjaga dan pemilik sinden, iaitu tempat para penari datang untuk bermandi. Sinden ini terletak di dalam hutan. Selain tugasnya untuk menjaga sinden, beliau juga merupakan seorang penari dimana tariannya khas dilakukan untuk menghiburkan penunggu hutan tersebut.

Mengikut kisah lain pula, Badarawuhi, asalnya seorang gadis yang menyembunyikan dirinya dan melakukan pertapaan untuk menghindari dirinya daripada kekejaman penjajah Belanda. Gadis itu bernama Ratna Narekh. Kampung yang disinggahinya dipimpin oleh seorang penghulu yang bersifat terlalu diskriminasi terhadap wanita.

Ramai wanita di kampung itu telah digoda, kemudian diperlekehkan oleh penghulu. Setibanya Ratna Narekh ke kampung tersebut telah membuatkan dirinya sebagai sasaran seterusnya oleh penghulu kampung itu. Penghulu telah memasang niat untuk mencabulnya.

Ketika dalam perjalanan ke lokasi pertapaan Ratna Narekh, beliau mendapat petanda awal hasil daripada ilmu-ilmu yang beliau amalkan sebelum itu. Penghulu tersebut telah terkena sihir beliau dan telah meninggal dunia di tengah hutan berhampiran dengan lokasi pertapaan Ratna Narekh.

Berhampiran kampung tersebut terletaknya sebuah kolam di kaki gunung yang disebut sebagai sendang. Sendang itu berada di sebuah kawasan yang bernama Daha. Mengikut kepercayaan masyarakat setempat, sendang itu dihuni oleh Ratu Pantai Selatan, iaitu Nyai Roro Kidul. Pantang larang di sendang itu tidak boleh melakukan apa jua tarian yang diiringi oleh gamelan.

Ratna Narekh berasa ilmunya semakin menebal, lalu beliau telah melanggar pantang larang sendang tersebut dengan melakukan tarian disitu. Sambil menari beliau telah berkata “jika seluruh penghuni Daha keluar dan menentang tarian ini, akan ku hancurkan satu persatu”.

Kesombongan Ratna Narekh telah membuatkan Ratu Pantai Selatan berasa marah justeru beliau menghantarkan makhluk halus untuk merasuki Ratna Narekh. Setelah dirasuk, beliau terus menari tanpa henti.

Tarian itu hanya boleh dihentikan jika jasad Ratna Narekh dihapuskan. Selagi jasad itu tidak dihapuskan, maka ianya akan terus menari sampai bila-bila. Lelaki yang menghampiri kawasan itu pasti akan digoda olehnya dan beliau akan menyihir supaya lelaki itu jatuh cinta dan berkahwin dengannya malah akan terus menetap disana sampai bila-bila.

Begitulah kisah asal-usulnya Badarawuhi yang diceritakan oleh sumber-sumber yang didapati dari Indonesia sana. Walaupun ianya dinukilkan didalam filem, namun kisahnya bukanlah daripada cerita rekaan semata-mata.

Iskandar Mohamad Ali

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular