Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKolaborasi penting untuk tingkatkan literasi membaca

Kolaborasi penting untuk tingkatkan literasi membaca

SHARJAH (Emiriah Arab Bersatu), 19 Mei (Bernama) — Kolaborasi antara pihak berkepentingan adalah instrumen penting untuk meningkatkan literasi membaca dalam kalangan masyarakat, kata Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) Keith Thong.

Thong, yang juga Pengarah Urusan University Book Store Malaysia Group, berkata sebagai contoh program Reading Seeds iaitu inisiatif yang berpunca daripada kolaborasi antara pakar psikologi kanak-kanak, syarikat edtech (teknologi pendidikan) dan penerbit.

“Program itu bertujuan menyemai tabiat membaca yang positif di peringkat perkembangan awal kanak-kanak,” katanya semasa menjadi panel dalam sesi bertajuk ‘Model Perniagaan Baharu’ di Persidangan Penjual Buku Antarabangsa di sini hari ini.

Reading Seeds adalah antara program promosi membaca yang termasuk dalam Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030, inisiatif kerajaan Malaysia untuk menggalakkan tabiat membaca yang baik bagi meningkatkan kadar membaca awal dalam kalangan kanak-kanak dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang 2030.

Beliau turut memuji usaha Pihak Berkuasa Buku Sharjah (SBA) dalam menganjurkan persidangan penjual buku antarabangsa pertama itu yang menurutnya akan memberi pulangan serta dividen yang mengagumkan.

Thong berkata persidangan itu amat membantu dalam menyokong mereka yang terlibat dalam industri buku dan perlu diteruskan bagi memastikan industri itu kekal berdaya maju serta kedai buku terus beroperasi.

“Apabila sesebuah kedai buku ditutup, pendidikan dan pembelajaran akan terhenti, yang membawa kepada jurang dalam pengetahuan serta maklumat,” katanya.

Menerusi sesi sama, pengasas bersama kedai buku dan perpustakaan bagi pengembaraan di India iaitu Akshaya Rautaray telah menceritakan pengalaman beliau dalam menganjurkan Pesta Buku Bergerak India yang membuktikan peranan penjual buku dalam mengubah kehidupan orang ramai.

“Bagi kanak-kanak yang tidak pernah melihat buku apatah lagi mampu membelinya, kegembiraan memegang serta menyelak halaman yang berwarna-warni buat pertama kali adalah satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Sebagai penjual buku, kita mungkin tidak mampu mengubah keadaan mereka tetapi kita boleh melawannya dengan sesuatu yang lebih kuat iaitu melalui buku dan ilmu,” katanya.

Rautaray juga berkata pesta buku itu, yang diasaskan pada 2014 di sebuah pekan kecil di kawasan pantai timur India, telah mengembara sejauh 35,000 kilometer merentasi 20 negeri dalam negara itu untuk membawa buku kepada orang ramai selain menganjurkan interaksi bersama penulis dan sesi membaca.

Anjuran SBA di luar Festival Membaca Kanak-Kanak Sharjah Ke-13 (SCRF), persidangan penjual buku antarabangsa pertama di dunia itu menghimpunkan lebih 200 penjual buku, pengedar dan profesional penerbitan dari Asia Barat, Asia Selatan serta Afrika.

Forum dua hari bagi membincangkan trend semasa dan baru muncul yang membentuk masa depan penjualan buku itu turut menawarkan peluang untuk bertukar-tukar amalan terbaik, membentangkan tajuk mereka selain meneroka peluang pasaran baharu dalam satu siri bagi sesi ‘mencari jodoh.’

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular