info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kongres Peru Gagal Lantik Kerajaan Sementara

86views

BUENOS AIRES, 16 Nov — Kongres Peru gagal melantik presiden sementara baharu, selepas Manuel Merino mengumumkan peletakan jawatannya pada Ahad berikutan tunjuk perasaan antikerajaan besar-besaran, lapor agensi berita Sputnik.

“Keputusan undian pusingan pertama 42 undi menyokong, 52 menentang dan 25 berkecuali. Sesi maya itu ditangguhkan,” menurut satu kenyataan di akaun Twitter rasmi Kongres Peru pada Ahad.

Dalam tweet berasingan, Kongres mengeluarkan senarai calon yang memilih untuk mengundi semasa sesi darurat pada Ahad.

Rocio Silva Santisteban diusulkan sebagai presiden sementara manakala Francisco Sagasti Hochhausler, naib presiden pertama sementara.

Pengerusi Kongres Peru, Manuel Merino, yang sebelum ini menggalas tugas presiden sementara,  pada Ahad mengumumkan berundur selepas beberapa hari tunjuk perasaan besar-besaran meletus.

Terdahulu, 13 daripada 18 menteri yang baharu turut meletak jawatan sebagai membantah kekejaman polis semasa demonstrasi besar-besaran susulan Kongres memutuskan untuk mendakwa Presiden Martin Vizcarra atas tuduhan rasuah. Vizcarra menafikan tuduhan itu.

Pada Sabtu, sekurang-kurangnya dua terbunuh dan hampir 100 orang cedera.

Lebih 60 yang cedera dimasukkan ke hospital. Polis dilaporkan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Mahkamah Perlembagaan Peru mengarahkan polis mengesan lebih 40 yang masih hilang berikutan tunjuk perasaan tersebut.

Menurut laporan media tempatan, kumpulan hak asasi rakyat Peru telah membuat aduan ke pejabat pendakwa raya, menuduh Merino dan Perdana Menteri Antero Flores-Araoz melakukan pembunuhan dan menyalahgunakan kuasa.

Aduan juga dibuat terhadap beberapa pegawai polis dan menteri dalam negeri, kata penyiar RPP pada Ahad.

Kongres Peru pada 9 November meluluskan usul mendakwa Vizcarra atas salah guna kuasa dan rasuah. Usul itu menerima 105 undi menyokong berbalas 19.

Sebelum ini usul yang sama dikemukakan di Kongres pada pertengahan September namun, Vizcarra terselamat apabila ia tidak dapat diluluskan kerana kekurangan undi menyokong.

— BERNAMA

Source link