info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Konica Minolta Sasar Operasi Di Malaysia

36views

KUALA LUMPUR, 7 Jun — Konica Minolta Inc, syarikat teknologi utama Jepun, menjangkakan prospek yang lebih baik bagi operasi perkilangan pencetak pelbagai fungsinya di Malaysia tahun ini sejajar dengan pemulihan pasaran di seluruh dunia selepas tahun yang sukar dan mencabar pada 2020 berikutan impak daripada pandemik COVID-19.

Hideyuki Yoshida, Pengarah Urusan Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, unit pengeluaran Konica Minolta di Malaysia berkata, syarikat itu merancang untuk mengembangkan rangkaian produk pencetak pelbagai fungsi pejabatnya bagi menampung peningkatan permintaan.

“Kami telah mengeluarkan pencetak pelbagai fungsi pejabat dan bahagian-bahagiannya di kilang di Melaka terutamanya bagi eksport ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sejak ia dibuka pada 2014,” kata Yoshida kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Yoshida merupakan salah seorang ahli panel forum pelaburan dalam talian bertajuk  “Malaysia in its Present State”, anjuran Japan External Trade Organisation (Jetro), secara kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 6 April.

Menurutnya, kilang di Melaka kini sibuk memenuhi tempahan selepas ditutup pada suku pertama tahun lepas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Bagaimanapun, kami kini berdepan kekurangan bekalan bahan mentah terutamanya daripada bahagian-bahagian komponen dari Jepun, China dan negara-negara Asia Timur lain berikutan kekeliruan logistik (udara dan laut) di seluruh dunia yang memberi kesan kepada banyak pengeluar apabila pandemik tersebut menjejaskan kemudahan pengeluaran dan rantaian bekalan global,” katanya.

“Kekangan bekalan bahan mentah menyukarkan kepada kami untuk mengawal kos kerana ia akan meningkatkan lagi kos pengeluaran,” katanya.

Bagaimanapun, Yoshida berkata Konica Minolta akan terus melabur dalam kilang pengeluaran di Melaka untuk meningkatkan pengeluaran dan menambah kapasiti pengeluarannya dalam pembuatan pintar dengan bajet yang diperuntukkan sejajar dengan jumlah hasil dan keuntungan yang diperoleh.

“Keseluruhan jumlah pelaburan di kilang di Melaka bagi tempoh tujuh tahun sejak ia dibuka pada 2014 adalah kira-kira RM350 juta dari segi automasi, bangunan dan inovasi.

“Kami perlu memperuntukkan pelaburan untuk meningkatkan automasi bagi mencapai pengeluaran dan kecekapan yang lebih tinggi untuk bersaing dengan syarikat pesaing lain,” katanya.

Menurutnya, kilang di Melaka itu yang memiliki keluasan kira-kira 104,000 meter persegi, beroperasi pada kapasiti hampir 90 peratus sebelum pengumuman kerajaan pada 25 Mei untuk mengehadkan operasi sektor swasta kepada 60 peratus daripada tenaga kerja bagi membendung penularan COVID-19.

“Kami tidak berdepan masalah utama tenaga kerja dengan sejumlah 3,000 pekerja kami di kilang di Melaka terdiri daripada rakyat tempatan dan kira-kira 300 pekerja asing,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dengan pengurangan pengeluaran disebabkan hanya 60 peratus pekerja dibenarkan bekerja, jurangnya makin meluas dan ia perlu dipertingkat kemudiannya kelak bagi menampung peningkatan permintaan produk.

Yoshida berkata walaupun isu tenaga kerja bukan masalah utama bagi kilang di Melaka, namun ia perlu mengekalkan persekitaran bekerja yang sihat kerana wang bukannya semata-mata manfaat yang dikejar oleh orang ramai.

“Sebagai contoh, kami meletakkan pembahagi di semua meja di kawasan pejabat, menyediakan ruang solat dan kantin tambahan di kilang untuk membendung jangkitan COVID-19, selain mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi asrama pekerja asing kami sebelum pandemik,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia masih lagi kekal sebagai lokasi menarik bagi Konica Minolta dengan sokongan dan insentif daripada kerajaan kepada syarikat multinasional selain rangkaian pengedaran laut dan darat yang lancar bagi kilangnya di Melaka yang menyediakan kemudahan strategik bagi penghantaran produk guna habis ke pelbagai negara di seluruh dunia.

“Walaupun kerajaan Malaysia memberikan insentif yang baik bagi syarikat multinasional, proses permohonan dan dokumentasi perlu dipermudahkan lagi untuk menarik pelaburan,” katanya.

Satu lagi daya tarikan Malaysia, katanya, adalah dari segi daya saing kosnya berbanding banyak negara-negara lain di Asia kerana kos buruh China juga sedang meningkat.

“Rakyat Malaysia juga mempunyai kemahiran yang baik dan berbakat,” katanya.

Yoshida berkata, sejak 2015, kilang di Melaka telah melaksanakan Pusat Industri Pintar (SIC), yang pertama seumpamanya di Malaysia, bagi membolehkan pelbagai sektor industri seperti pembekal tempatan saling bekerjasama menambah baik tapak pengeluaran.

Konica Minolta, katanya, juga berazam untuk menyokong syarikat-syarikat yang menyertai SIC dengan berkongsi teknologi inovatif bagi pembuatan digital dan mewujudkan model pembuatan baharu di Malaysia menerusi inovasi, yang seterusnya meningkatkan profil global Malaysia dalam industri pembuatan antarabangsa.

Menurutnya, syarikat itu juga menggalakkan inisiatif pembuatan digital di seluruh dunia.

“Selain kilang pengeluaran di Malaysia, kami juga mempunyai kilang di China, Perancis dan AS. Dua kilang di China terutamanya adalah bagi pasaran pencetakan yang besar di negara itu manakala kilang di Perancis dan AS bagi bahagian-bahagian pencetak pengguna,” katanya.

Beliau berkata kilang di Melaka mengeluarkan kira-kira 50 peratus daripada produk pencetak peralatan pejabat bagi Konica Minolta untuk pasaran di seluruh dunia.

Oleh Christine Lim

– BERNAMA

Source link