Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKorea Selatan pertingkat pemantauan terhadap bekalan minyak masak

Korea Selatan pertingkat pemantauan terhadap bekalan minyak masak

SEOUL, 18 Mei (Bernama) — Korea Selatan akan meningkatkan pemantauan pasaran minyak masak dan meningkatkan rantaian bekalannya berikutan kebimbangan terhadap masalah bekalan dan tindakan menyorok bekalan, kata Kementerian Pertanian hari ini.

Harga minyak masak global meningkat baru-baru ini berikutan krisis Ukraine dan sekatan eksport Indonesia, mendorong beberapa pengguna di sini menyimpan komoditi itu. Rangkaian kedai diskaun makanan utama dan pusat beli-belah dalam talian telah menetapkan had pembelian minyak masak bagi setiap pembeli, lapor Agensi Berita Yonhap.

Laporan itu menyebut pertemuan dengan Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, pembekal utama minyak masak domestik, termasuk CJ CheilJedang Corp. dan Lotte Foods Co., berkata mereka tidak mengalami kekurangan bekalan setakat ini dan menjamin simpanan minyak masak untuk tempoh dua hingga empat bulan.

Mereka juga dijangka membawa masuk jumlah kontrak minyak sawit dan jenis minyak makan lain dari luar negara tanpa sebarang halangan.

Sejak penghujung April, Indonesia, pengeksport minyak sawit No. 1 dunia, menghentikan eksport minyak masak berikutan bekalan domestik yang terhad. Tetapi langkah itu tidak menjejaskan pasaran negara itu, kerana firma Korea Selatan telah membeli minyak sawit dari Malaysia, menurut kementerian itu.

Bagi minyak bunga matahari, syarikat itu sudah mendapatkan pengganti pembekal asing, selain Ukraine dan Rusia, susulan perang di rantau itu, tambahnya.

Ukraine merupakan pengeksport minyak bunga matahari terbesar di dunia, menyumbang hampir 50 peratus daripada jumlah bekalan global, diikuti oleh Rusia, yang mengeluarkan kira-kira 23 peratus daripada bekalan dunia. Krisis yang berterusan juga telah mengganggu penghantaran produk minyak dan menaikkan harga global.

“Syarikat-syarikat itu berkata buat masa ini tiada rancangan untuk menaikkan harga minyak masak. Kemungkinan untuk pengguna di sini menghadapi masalah untuk membeli minyak masak adalah kecil,” lapor Yonhap memetik kenyataan kementerian.

Memandangkan minyak masak penting kepada peniaga kecil dan rakyat, kerajaan berikrar untuk memantau dengan teliti keadaan bekalannya bersama-sama syarikat berkaitan melalui mesyuarat mingguan.

Ia juga berikrar untuk mengukuhkan pemantauan potensi komplot sorok, sambil mencari jalan untuk menyokong pengimport berhubung kenaikan harga global.

Menurut laporan media asing, harga minyak sayuran melonjak ke paras tertinggi baru-baru ini. Harga minyak sawit meningkat hampir tiga kali ganda selepas larangan eksport Indonesia.

Di pasaran domestik, harga minyak masak juga meningkat baru-baru ini daripada 511 won (40 sen AS) setiap 100 mililiter pada Januari kepada 515 won pada Februari dan seterusnya kepada 530 won pada bulan berikutnya, menurut data dari Agensi Pengguna Korea.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular