Uncategorized

Kos projek penstabilan cerun, menaik taraf Sungai Kemensah dianggar RM10 juta

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) akan memuktamadkan pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaik taraf Sungai Kemensah dengan kos dianggarkan RM10 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek itu akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah sungai berkenaan yang tertimbus, dan aliran air sungai yang terhalang, dari segi jangka panjang susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Jumaat lepas.

Beliau berkata pemeriksaan agensi di bawah kementeriannya mendapati pergerakan tanah daripada runtuhan itu menyebabkan masalah di sungai itu.

“Projek ini akan dilaksanakan selepas mendapat input daripada pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata pelan kerja itu akan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan untuk tindakan susulan dari segi pembiayaan dan perolehan.

Bagi penyelesaian jangka pendek, katanya pihak JPS telah membaik pulih aliran dan tebing sungai sepenjang 250 meter bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata kementeriannya akan menyegerakan proses penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan JPS menjalankan kerja-kerja penstabilan cerun sungai termasuk pemasangan ‘sheet pile’ dan kerja-kerja tanah berkaitan.

Jelasnya kajian penilaian dan tindakan ini sedang diselaras bersama dengan pihak MPAJ, JMG dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR.

Jumaat lepas tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button