info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

KPDNHEP Bakal Laksana 29 Inisiatif Bersasar Untuk Bantu Peniaga

78views

PUTRAJAYA, 19 Jan — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan 29 inisiatif bersasar bagi membantu komuniti perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata inisiatif bersasar itu membabitkan dua kategori iaitu kategori berbentuk moratorium dan kategori bagi membantu merancakkan ekonomi.

Beliau berkata, bagi kategori berbentuk moratorium, ia membabitkan pengurangan kadar sehingga 60 peratus ke atas kompaun yang dikeluarkan oleh kementerian bagi kesalahan tertentu.

Selain itu, melanjutkan tempoh pendaftaran percuma bagi SSM BizTrust sehingga 31 Disember 2021, pengurangan kompaun bagi permohonan pembatalan syarikat mengikut Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 sehingga 30 Jun 2021.

Kemudahan penangguhan bayaran ansuran bagi peminjam Dana Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) yang tidak mempunyai tunggakan melebihi enam bulan; dan Skim 1 Pelajar, 1 Perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata, skim itu akan membolehkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang ingin mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Katanya, inisiatif membantu merancakkan ekonomi pula membabitkan program “Franchise @ Marketplace”, iaitu kerjasama bersama dengan Shopee bagi mempromosi dan menjual produk francais secara dalam talian serta penyewaan Kiosk/ Push Carts di pasar raya terpilih bagi memberi peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai di pasar raya terpilih.

Ia juga diharap meningkatkan imej dan jualan produk PKS di pasaran tempatan.

Alexander berkata inisiatif itu turut merangkumi pelanjutan tempoh sah pemegang permit barang kawalan dari satu tahun kepada tiga tahun dan pemegang permit khas barang kawalan dari enam bulan kepada satu tahun.

Program “SSM Prihatin” pula bagi membantu peniaga kecil dengan menawarkan bantuan yang paling sesuai ketika era pendemik COVID-19 dan memendekkan proses pengeluaran permohonan baharu permit barang kawalan dari tujuh hari kepada lima hari serta pembaharuan permit barang kawalan dari lima hari kepada tiga hari.

“Kesemua inisiatif yang akan dilaksanakan oleh KPDNHEP ini bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor perdagangan domestik, selain memudah cara proses kerja, selaras dengan keperluan norma baharu di era pasca COVID-19 ini,” katanya.

Source Link