Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKPDNHEP Selangor tumpaskan sindiket minyak masak

KPDNHEP Selangor tumpaskan sindiket minyak masak

SHAH ALAM, 2 Jun (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menumpaskan sindiket pembotolan dan pembungkusan semula minyak masak secara haram dalam satu operasi di Taman Sentosa, Klang, dekat sini, semalam.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata serbuan pada 3.30 petang itu dilakukan oleh pasukannya dari Selangor berjaya merampas minyak dianggarkan bernilai RM27,628.25.

“Kejayaan itu hasil risikan pihaknya terhadap aktiviti tersebut yang dijalankan di premis tidak bernombor tersebut di Taman Sentosa. Premis itu dipercayai menjadi stor penyimpanan selain lokasi pembungkusan dan pembotolan semula minyak secara tidak sah.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada sitaan minyak masak peket sekilogram seberat 7,361 kg dan 776 botol seberat 1,562 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata pada masa yang sama, plastik pembungkusan minyak masak dan lain-lain peralatan terlibat bagi aktiviti memotong serta pembotolan semula turut ditemui dan disita.

“Semasa serbuan, tiga lelaki berumur antara 25 dan 41 tahun turut berada di dalam premis berkenaan. Mereka yang ditahan untuk rakaman percakapan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 antaranya Seksyen 21 dan 20(1), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular