Berita

KPKT Bakal Hubungi Individu Gagal Hadir Janji Temu Vaksinasi

118views

KUALA LUMPUR, 12 Jun  — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan satu ekosistem sokongan bagi membantu kelancaran program vaksinasi yang antara lain turut meliputi pewujudan pusat panggilan bagi menghubungi mereka yang tidak datang janji temu vaksinasi.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata inisiatif dengan kerjasama Penggerak Komuniti Negara dan Kementerian Perpaduan itu telah dimulakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah, Ampang sejak Selasa lepas, yang seramai tujuh operator telefon telah dilatih bagi tujuan itu.

Jelasnya menerusi projek rintis berkenaan, seramai 177 individu terdiri daripada tiga kategori iaitu individu yang telah mendapat tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera tetapi tidak memberikan maklum balas, individu yang tidak datang suntikan kedua serta individu yang tidak datang suntikan pertama telah pun dihubungi.

“Saya dapat laporan menyatakan hampir 100 peratus iaitu 97 peratus mereka yang terima panggilan ini memberi maklum balas bahawa mereka akan datang.

“Ini menunjukkan bahawa pusat panggilan ini beroperasi dengan amat baik bagi memastikan mereka yang mungkin lalai atau tidak dapat maklumat untuk datang ke PPV selain membantu kurangkan beban petugas barisan hadapan di PPV,” katanya selepas meninjau PPV Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah di sini, hari ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata bagi mereka yang didapati mempunyai masalah pengangkutan untuk PPV sehingga menyebabkan tidak dapat hadir janji temu, pihaknya turut menyediakan pengangkutan untuk membawa mereka pergi dan balik dari PPV berkenaan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata selain pusat panggilan, sistem sokongan berkenaan juga turut meliputi pasukan jangkauan dengan kerjasama persatuan penduduk, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB), Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Rukun Tetangga bagi menggerakkan kempen vaksinasi sehingga ke akar umbi.

Selain itu, Zuraida berkata bagi melengkapkan lagi sistem berkenaan, klinik bergerak turut disediakan untuk memudahkan pasukan mengunjungi golongan sasar seperti warga emas, Orang Kurang Upaya dan individu terlantar bagi memberi suntikan vaksin.

“Pada masa akan datang mungkin kami akan minta Kementerian Kesihatan untuk benarkan kami turun ke kawasan berkepadatan tinggi macam rumah Program Perumahan Rakyat atau perkampungan kerana mereka mungkin jauh untuk datang ke PPV ditetapkan, jadi biar kami turun ke lapangan,” katanya.

Jelasnya model ekosistem berkenaan akan diperluaskan lagi ke negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Pahang bagi meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin negara.

— BERNAMA

Source link