Berita

KPKT jangka kutipan 20,000 kilogram sisa pepejal melalui program ‘World Cleanup Day’

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan mengutip kira-kira 20,000 kilogram sisa pepejal sempena sambutan ‘World Cleanup Day 2021’ peringkat kebangsaan sepanjang 14 hari program itu yang bermula 6 Sept lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata pelbagai pengisian program telah diatur dan ia akan diadakan secara dalam talian sepenuhnya disebabkan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Pelaksanaan komponen utama dalam World Cleanup Day adalah seperti aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa. Setiap peserta boleh menjalankan aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa secara individu atau bersama keluarga di kawasan perumahan masing-masing.

“Pelbagai sesi webinar dan pertandingan juga dianjurkan sepanjang sambutan ini yang boleh diikuti melalui platform Facebook Rasmi SWCorp atau KPKT antaranya Cilik World Cleanup Day Tahun 2021, Women World Cleanup Day, Tiktok Cleanup Challenge dan kuiz dengan hadiah terkumpul berjumlah RM22,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Keluarga Malaysia, Bersihkan Malaysia’ malam ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata sebanyak 100 agensi dan badan bukan kerajaan akan mengambil bahagian melibatkan 14 negeri dengan jangkaan penyertaan seramai 5,000 sukarelawan.

“Kita mahu gaya hidup menjaga kebersihan ini bukan bersifat sekali sahaja sebaliknya berpanjangan, kita mahu tanamkan sedalamnya kesedaran supaya jadikan kebersihan cara hidup berterusan, bukan pada sambutan World Cleanup Day sahaja,” katanya.

World Cleanup Day adalah sambutan di peringkat dunia yang melibatkan aktiviti pembersihan kawasan persekitaran secara serentak dan ia mula dianjurkan oleh sebuah organisasi antarabangsa iaitu Let’s Do It World yang berjaya menyatukan 180 negara di seluruh dunia pada 2019 demi sebuah planet yang bersih.

Ini merupakan sambutan kali kedua World Cleanup Day anjuran SWCorp di Malaysia selepas penganjuran sama tahun lepas.

— BERNAMA
Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button