Berita

KPM Akan Menjadualkan Semula Peperiksaan Awam

170views

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjadualkan semula peperiksaan awam selepas semua kertas itu selesai sebelum kementerian memuktamadkan bagi peperiksaan kali kedua.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata penjadualan semula pasti akan berlaku selepas semua peperiksaan itu tamat seperti dijadualkan awal.

“Selepas tamat semua peperiksaan ini, beri tempoh satu atau dua minggu kepada KPM untuk meneliti dan memuktamadkan dan dalam tempoh berkenaan jadual akan disampaikan kepada semua calon yang terbabit,

“Selepas itu mereka menduduki peperiksaan seperti yang diteruskan pada kali pertama ini,” katanya pada temu bual ‘Persediaan Menghadapi Peperiksaan Awam Dalam Norma Baharu 2021 ketika hadir Selamat Pagi Malaysia di TV1, hari ini.

Pada November tahun lalu, KPM meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan bermula pada Isnin depan, sementara peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula bermula 8 Mac.

Seramai 400,445 calon mendaftar untuk SPM tahun ini, manakala bagi SVM, 14,492 calon semester dua dan 8,371 calon di semester empat.

Pkharuddin berkata, calon perlu mengemukakan dua dokumen sebagai pengesahan mereka sihat dan boleh menduduki peperiksaan termasuk yang tiba tidak melebihi 30 minit daripada masa peperiksaan sedang berlangsung dan mengikuti kertas seterusnya.

Katanya, jika tidak dapat hadir, pelajar itu akan mendudukinya pada tarikh baharu.

“Calon perlu mengemukakan borang maklumat daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) yang menyatakan mereka diarahkan kuarantin atau menjalani rawatan COVID-19 dalam tempoh tertentu hingga tidak dapat menduduki peperiksaan sepatutnya.

“Dokumen kedua pula ialah nota discaj bagi calon yang disahkan positif COVID-19 yang akan menjadi bukti atau pengesahan mereka sihat, pulih untuk meneruskan peperiksaan atau mendudukinya pada tarikh baharu yang ditetapkan kelak,” katanya.

Katanya, kedua-dua dokumen itu perlu ditunjukkan kepada sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan semula.

Beliau berkata, sekiranya ada calon yang sedang menduduki peperiksaan namun ibu bapa dan penjaga memaklumkan pihak sekolah mereka mungkin perlu dikuarantin, jalani ujian calitan atau positif COVID-19, pihaknya menegaskan calon bergejala sudah ditempatkan di bilik peperiksaan khas.

“Justeru jika berlaku situasi calon sedang menduduki peperiksaan, kita sudah bersedia kerana setiap calon dan petugas peperiksaan sudah mengisi borang deklarasi kesihatan dengan berpandukan maklumat diberikan ketika tiba di pintu masuk sekolah dan melihat apa mereka isytiharkan.

“Calon dan petugas akan dipastikan sihat sepenuhnya atau mengalami lima simptom iaitu demam, batuk selsema, sesak nafas, sakit tekak. Sekiranya maklumat itu terpapar, perhatian selanjutnya diberikan sama ada calon itu boleh duduki bersama dalam dewan atau kita asingkan mereka dalam bilik peperiksaan khas.

“Ini bertujuan supaya tidak menimbulkan keresahan atau gejala itu tidak tersebar kepada calon lain. Jadi, memang calon dan petugas peperiksaan wajib mengisi borang setiap hari,” katanya.

Source Link