info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

KPWKM Digesa Kembalikan Talian Nur Khusus Untuk Kanak-Kanak

86views

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa mewujudkan semula Talian Nur bagi menangani pelbagai kes keganasan terhadap kanak-kanak.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata Talian Nur perlu dikembalikan kerana Talian Kasih yang ada sekarang tidak mempunyai talian khusus bagi menangani isu berkaitan kanak-kanak.

“Saya berasa duka cita akan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Taman Krubong Jaya, Melaka dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.

“Berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kanak-kanak telah pun menghadapi kesukaran dalam memperoleh hak asasi mereka termasuk pendidikan dan beriadah yang sempurna.

“Adalah sangat mengecewakan apabila mengetahui terdapat ramai kanak-kanak yang tidak dapat hidup dalam persekitaran yang selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Aziah berkata, sehubungan itu, amat wajar Talian Nur yang didedikasikan khas untuk kanak-kanak dan dikendalikan kakitangan terlatih dengan kelayakan psikososial diwujudkan semula.

Katanya, KWPKM juga digesa untuk menggunakan peruntukan undang-undang dalam Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 berhubung pelantikan Pembantu Pelindung dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM.

Keluarga angkat juga, katanya, perlu mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Hal ini membolehkan JKM memantau keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta memberi nasihat bersesuaian sekiranya ibu bapa kandung ingin mengambil kembali anak mereka untuk dijaga.

“Walaupun pengambilan anak pelihara adalah amat digalakkan, JKM hendaklah menyediakan prosedur yang sesuai kepada mereka yang ingin berbuat demikian bagi melindungi kanak-kanak sekiranya penjaga yang sah iaitu ibu bapa kandung kanak-kanak ini ingin mengambil semula untuk dijaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga disarankan memberi tumpuan kepada usaha menjamin keselamatan kanak-kanak terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Talian Kasih 15999 dan nombor WhatsApp 019-2615999 hendaklah dipromosikan melalui semua bentuk platform media sosial, televisyen, radio, papan iklan di semua tempat awam termasuklebuh raya, masjid, kuil, sekolah, hospital, pasar raya, stesen bas dan kereta api.

“Masyarakat juga digesa untuk menjadi masyarakat yang lebih prihatin.

“Setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika didapati ada kanak-kanak dalam kawasan kejiranan yang disyaki didera oleh ibu bapa atau penjaganya.

“Doktor swasta dan kerajaan juga mesti melaporkan kes penderaan kanak-kanak jika menemui unsur penderaan kanak-kanak ketika memberikan rawatan,” katanya.

Source Link