Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKriket Malaysia akhirnya berpindah dari Kinrara Oval

Kriket Malaysia akhirnya berpindah dari Kinrara Oval

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Selepas beroperasi 18 tahun di Kinrara Oval, Puchong, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) akhirnya akan mengosongkan padang keramat mereka itu pada 30 Jun.

Presidennya Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berkata Kelayakan Bawah 19 Wanita Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) 2022 dari 1-10 Jun dan Kejohanan Piala Asia T20 Wanita Majlis Kriket Asia (ACC) (15-25 Jun) akan menjadi dua kejohanan terakhir berlangsung di situ.

“Kami dengan ini memaklumkan bahawa MCA telah mencapai satu penyelesaian dengan Perumahan Kinrara Berhad (PKB) dan memenuhi kewajipannya untuk membayar. Kinrara Oval telah menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa – hebat dan ikonik, ia menjadi rumah kepada kriket Malaysia.

“Memandangkan kepada sejarah dan legasi yang ada dengan kriket di Kinrara Oval, ia menjadi sentimen dan sebab yang kuat, di mana keluarga kriket telah berharap ia dikekalkan. Bagaimanapun, kami mengundurkan diri secara baik, dengan penuh kesyukuran, membawa bersama kami kenangan-kenangan kriket yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohammad Iqbal berkata pada masa ini Kinrara Oval merupakan salah satu daripada padang dengan status ‘One-Day International’ (ODI) di Asia Tenggara. Satu lagi padang yang mempunyai status tersebut ialah Bayuemas Oval di Klang.

Sementara itu beliau berkata ahli gabungan dan ahli bersekutu negeri akan diberikan peluang untuk menyediakan satu pasukan untuk beraksi dalam Kejohanan Masters t10 Curtain Call dari 10-12 Jun.

Dalam pada itu Mohamad Iqbal berkata MCA yakin untuk dapat mencari satu kawasan yang dapat dipanggil ‘rumah sendiri’.

“Terima kasih juga, kepada setiap mereka yang bersama-sama kami, percaya kepada kami dan terus percaya kepada niat kami. Kami berikrar untuk meneruskan kriket di Malaysia dan merealisasikan visi kami : untuk menjadi sukan utama di Malaysia,” katanya.

MCA buat pertama kalinya memajak tanah daripada PKB pada 2003 untuk 15 tahun, yang berakhir pada 2018, sebelum kabinet pada awal 2019, memberikan kelulusan khas untuk melanjutkan tempohnya.

Kinrara Oval telah menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Piala Dunia Bawah 19 dan acara kriket untuk Sukan SEA 2017.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular