info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Krisis Politik Perak: DAP Buat Keputusan Jalin Kerjasama Dengan UMNO

30views

IPOH, 8 Dis  — DAP Perak memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO di Perak bagi membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil, kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Beliau berkata keputusan berkenaan mengambil kira situasi di negeri itu yang tiada satu parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil selepas menteri besar sebelum ini Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang keyakinan majoriti dan kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan.

Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong berkata kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO membuktikan dua perkara.

“DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan.

“Momokan DAP adalah “anti-Melayu atau anti-Islam” selama ini adalah tidak benar sama sekali,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Nga bagaimanapun menegaskan, dalam semangat muafakat Pakatan Harapan (PH), penyertaaan DAP Perak dalam kerajaan negeri yang baharu tidak akan dibuat tanpa rakan-rakan komponen gabungan itu iaitu Amanah dan PKR.

Nga berkata satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama ini mencapai kata sepakat.

Beliau bahawa kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO adalah berpaksikan kepada prinsip utama membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip tadbir urus yang baik.

“Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran,” katanya.

Pada persidangan DUN Jumaat lepas, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul keyakinan Ahli Dewan terhadapnya yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

Beliau hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

— BERNAMA

Source link