Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKRPPM sedia bekerjasama, pastikan Rang Undang-undang Sumbangan Politik dibentang di Parlimen

KRPPM sedia bekerjasama, pastikan Rang Undang-undang Sumbangan Politik dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Mengenai Pendanaan Politik sedia mengadakan pertemuan dan menjalin kerjasama dengan kerajaan bagi memastikan Rang Undang-Undang Sumbangan Politik dapat disiapkan sekali gus dibentang di Parlimen dalam masa terdekat.

Pengerusi KRPPM Ahmad Fadhli Shaari berkata sebagai badan yang diiktiraf Parlimen, kumpulan itu sedia memainkan peranan sebagai wadah perbincangan mengenai pengawalseliaan sumbangan politik yang melibatkan Ahli Parlimen, senator, organisasi masyarakat sivil (CSO) serta pihak berkepentingan.

“Pada ketika ini, kami sedang meneliti undang-undang yang diguna pakai di negara lain serta cadangan pakar berhubung Rang Undang-Undang Pendanaan Politik yang sesuai bagi konteks demokrasi di Malaysia.

“Banyak kajian dilakukan sejak 2009 oleh pakar yang juga merupakan ahli KRPPM kami. Pembentangan rang undang-undang ini tidak sepatutnya dilengahkan lagi malah patut disegerakan demi kelestarian demokrasi negara kita,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga yakin rang undang-undang itu merupakan langkah positif dalam memastikan demokrasi negara selamat daripada pengaruh luar mahupun kumpulan tertentu selain menambah baik usaha Malaysia membanteras rasuah di peringkat akar umbi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Rang Undang-Undang Sumbangan Politik secara dasarnya telah dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata rang undang-undang itu penting kerana sehinga kini, masih tiada undang-undang atau peraturan dalam negara yang mengawal selia pembiayaan politik.

Ahmad Fadhli menyifatkan persetujuan untuk membentangkan skop dasar bagi rang undang-undang berkaitan pengawalseliaan sumbangan politik dalam mesyuarat Jemaah Menteri adalah perkembangan baik memandangkan penggunaan wang dalam politik yang tidak terkawal merupakan antara punca gejala rasuah semakin meruncing.

KRPPM Mengenai Pendanaan Politik, yang diluluskan Dewan Rakyat pada 20 April lepas, adalah untuk mewujudkan satu sarana supaya Ahli Parlimen, senator dan CSO dapat mengadakan perbincangan serta mempertimbang kepentingan pembaharuan pendanaan politik di Malaysia.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular