Selasa, Mei 17, 2022
HomeBeritaKuat kuasa peraturan untuk ambil tindakan terhadap pengabaian haiwan

Kuat kuasa peraturan untuk ambil tindakan terhadap pengabaian haiwan

PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) — Beberapa peraturan di bawah Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021-2030 termasuk berkaitan pemilikan haiwan bakal dikuatkuasakan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang mengabaikan haiwan milikan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata Kod Amalan Kebajikan Haiwan (KAKH) sebelum ini tidak mempunyai ‘legal binding’ atau tidak terikat dengan undang-undang untuk diambil tindakan tetapi hanya sebagai garis panduan untuk pemilik haiwan dalam perihal kebajikan haiwan.

Di bawah peraturan pemilikan haiwan yang bakal dikuatkuasakan kelak, pemilik haiwan boleh diambil tindakan undang-undang sekiranya didapati mengabaikan haiwan milikan mereka termasuk membuang haiwan itu di mana-mana lokasi, katanya.

“Kalau mereka (pemilik haiwan) langgar KAKH yang kita gariskan, kita tidak boleh buat apa-apa. Tetapi dengan peraturan-peraturan yang dikuat kuasa, jika ada aduan kita boleh ambil tindakan undang-undang ke atas mereka,” katanya kepada Bernama di sini.

Pelan Strategik Kebajikan Haiwan 2021-2030 dilancarkan pada April lepas antara lain menggariskan strategi bagi memperkukuhkan penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan lain-lain perundangan berkaitan, serta pembangunan berterusan untuk memperkukuhkan kebajikan dan kesejahteraan haiwan.

Norlizan berkata Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021-2030 itu merupakan kesinambungan daripada dasar dan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2012-2020 yang telah pun berakhir.

“Perancangan pembangunan kebajikan haiwan perlu diteruskan untuk memastikan kebajikan haiwan dapat diterap secara berterusan kepada setiap golongan masyarakat di negara ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak,” katanya.

Mengenai pencapaian Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2012-2020, Norlizan berkata penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 di negara ini bermula 1 Julai 2017 adalah lambang kejayaan yang dicapai melalui pelan tersebut.

“Tanpa akta ini, pembangunan kebajikan yang lain sukar dilaksanakan kerana elemen utama dalam sesuatu pembangunan perlu ada peruntukan perundangan yang khusus dan arahan pelaksanaan secara mandatori daripada peruntukan perundangan.

“Aktiviti kawal selia, siasatan dan pendakwaan kes, contohnya memerlukan peruntukan perundangan bagi tujuan melaksanakan aktiviti tersebut,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerima banyak aduan mengenai kes pengabaian dan penganiayaan terhadap haiwan iaitu 768 aduan pada 2020 dan meningkat kepada 1,249 pada tahun lepas, dengan peningkatan ketara diterima bagi aduan melibatkan anjing, kucing, kuda, lembu dan haiwan eksotik.

Untuk tiga bulan pertama tahun ini, DVS telah menerima 298 aduan.

“Dulu orang tidak berapa kisah tentang pengabaian haiwan, tetapi kini bila sudah ada kesedaran (masyarakat) dan ada saluran untuk melaporkan, ada pula akta yang boleh digunakan, maka secara tidak langsung bertambah juga jumlah aduan yang kami terima,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular