Berita

Kuota 30 Peratus Calon Wanita Perlu Jadi Perlembagaan UMNO

52views

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Kuota 30 peratus wakil wanita sebagai calon dalam pilihan raya umum perlu dijadikan sebagai perlembagaan UMNO.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong, Sabrina Ahmad Khan, berkata cadangan itu sejajar dengan pengorbanan dan pengiktirafan sayap itu kepada parti.

Beliau berkata, Wanita UMNO mesti terus berada di barisan hadapan dan padu memikul amanah perjuangan parti.

“Kita faham keputusan meletak calon bertanding di sesuatu kawasan ditentukan oleh kepemimpinan parti politik dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti latar belakang setempat, populasi kaum dan keupayaan calon memenangi kawasan itu.

“Bagaimanapun, agenda mengangkat wanita sebagai wakil pemimpin seharusnya dimulakan dalam peringkat parti kita sendiri terlebih dulu,” katanya ketika menjadi pencadang Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), di sini, hari ini.

Sabrina berkata, wanita di negara ini mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya dan memegang jawatan pentadbiran sejak negara merdeka.

Katanya, wanita sebahagian daripada pengundi berdaftar dan aktif dalam politik, terutama generasi muda.

Beliau berkata, majoriti daripada golongan itu hanya terbabit dengan aktiviti sokongan kepada lelaki, terutama dalam penjanaan kewangan politik.

“Hakikatnya, wanita terbabit sepenuhnya sewaktu pilihan raya, melakukan tugas rutin berkaitan kempen harian dan menjadi perantara kepada pengundi ketika proses pilihan raya parti politik masing-masing,” katanya.

Source Link