Berita

Kurangkan Birokrasi, Permudahkan Permohonan BPR Dan BPN – Asyraf Wajdi

67views

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya setiap hari menerima mesej keluhan rakyat berkenaan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melalui pelbagai platform termasuklah Hotline Pemuda semenjak ‘total lockdown’ dikuatkuasakan.

Katanya, rata-rata mengadu bahawa permohonan mereka kali ini ditolak, tunai lambat dikreditkan ke akaun penerima, data tidak dikemaskinikan dan proses rayuan yang menyusahkan dan penuh dengan karenah birokrasi.

Fahamilah nasib rakyat ketika ini yang amat tertekan dan terdesak akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan yang bukan sahaja membataskan pergerakan tetapi lebih parah lagi menyebabkan pendapatan rakyat amat terjejas terutamanya yang tiada pendapatan tetap, bekerja sendiri dan bergantung kepada gaji harian.

“Kini sudah masuk 20 hari sejak ‘total lockdown’ separa masak berjalan dan kes baharu positif COVID-19 masih tinggi dengan purata harian kes lebih 5,000 (5,911 pada 19 Jun 2021),” tegasnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Ujarnya lagi, situasi ini dikhuatiri akan berpanjangan dan lebih ramai akan terjejas apabila Menteri Kesihatan dalam kenyataan terbaru beliau berkata negara hanya akan memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara sekiranya purata kes bawah 4,000 untuk tujuh hari berturut-turut.

“Sudahlah Laporan terbaru Jabatan Statistik Malaysia menyatakan lebih 600,000 isi rumah M40 sudah masuk ke kategori B40, negara tidak menunjukkan indikator positif bahawa ekonomi negara sedang memulih,” tambahnya.

Justeru itu katanya, Pemuda UMNO menggesa agar pihak kerajaan untuk mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku agensi pelaksanaan untuk memudahcara dan mengurangkan birokrasi pelaksanaan dan meningkat program BPN dan BPR ini.

“Pihak kerajaan harus menyediakan sumber-sumber yang mencukupi buat LHDN dan agensi-agensi lain yang terlibat di dalam proses kelulusan program ini.

“Dahulukan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi negara berada di dalam keadaan krisis seperti sekarang.

“Permudahkan usah persulitkan! Apakah anda juga alami nasib yang sama? Soal Dr Dr Asyraf kepada pelayar maya di media sosialnya itu. – UMNO ONLINE

Source link