Berita

Kuwait Jinakkan Harimau Malaya 4-1

151views

KUALA LUMPUR, 24 Mei  — Setelah lebih 550 hari tidak beraksi dalam sebarang pertandingan kompetitif, skuad Harimau Malaya mempamerkan prestasi lesu apabila ditewaskan Kuwait 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium The Seven, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Kuwait, penghuni ranking 148 dunia ternyata lebih garang apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-21 melalui sepakan jarak jauh Ahmad Aldhefeery apabila Mohd Farizal Marlias, gagal menyekat percubaannya dalam aksi pemanas badan yang bermula pada 7.15 malam waktu tempatan (11.15 malam waktu Malaysia) pada Ahad.

Bagaimanapun, penyerang neutralisasi baharu Harimau Malaya, Guilherme de Paula menyamakan kedudukan melalui hantaran lintang dari La’Vere Lawrence Corbin-Ong, tujuh minit kemudian. Kedudukan kekal 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memutuskan merombak pasukan dengan hanya mengekalkan de Paula dan Syamer Kutty Abba untuk barisan kesebelasan utama skuad negara.

Selepas aksi  berlangsung tiga minit pertama, pemain muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin, yang membuat penampilan sulung dalam pasukan senior ini, memperoleh peluang uhtuk menjaringkan gol namun berjaya disekat penjaga gol tuan rumah.

Pasukan tuan rumah yang berjersi biru mendahului sekali lagi menerusi tandukan Fahad Alhajeri pada minit ke-55, manakala penyerang Shabaib Alkhaldi meledakkan satu lagi gol pada minit ke-61 bagi menggegarkan gawang pasukan Malaysia yang kini menduduki tangga ke-153 dunia.

 Kuwait terus berpesta gol apabila ketua pasukan Fahad Al-Alabraim meledakkan gol melalui sepakan percuma ke gawang negara pada minit ke-68 sekali gus memaksa Cheng Hoe menggantikan penjaga gol Samuel Somerville dengan Khairulazhan Khalid.

Skuad Harimau Malaya akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain di Manama pada Jumaat, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aski kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kelayakan Kumpulan G menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan menamatkan saingan berdepan Thailand pada 15 Jun, dengan sasaran layak ke Piala Asia 2023 di China.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi adalah ketika menentang Indonesia dengan berjaya mencatat kemenangan 2-0, sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19 memaksa perlawanan kelayakan itu ditangguhkan.

— BERNAMA

Source link