Berita

Lakukan Vaksinasi Di Kawasan PKPD Bagi Mempercepat Sasaran Imuniti — Bung

136views

KOTA KINABALU, 16 Jun – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin  menggesa kerajaan supaya turut melaksanakan pemberian vaksin di kawasan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membantu mempercepatkan lagi proses vaksinasi di negeri ini.

Jelas Bung, pendekatan ini juga antara salah satu kaedah terbaik selain pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah bagi meningkatkan lagi bilangan penerima vaksin sekaligus mempercepat dan membentuk imuniti berkelompok di kawasan PKPD tersebut.

Tambah beliau, usaha ini wajar diberi perhatian memandangkan penduduk dan masyarakat di kawasan PKPD adalah golongan yang berisiko dan sekiranya tidak dilaksanakan ia dikhuatiri akan mencetuskan lagi kluster baharu.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pemberian vaksin haruslah diberikan kepada penduduk yang mendapat keputusan negatif COVID-19 bagi memastikan mereka mempunyai ‘pelindungan diri’ sekaligus mengawal daripada wabak berkenaan merebak setelah PKPD ditamatkan.

“Memandangkan petugas kesihatan akan berada d ilapangan di lokasi PKPD bagi menjalani ujian calitan pengesanan COVID-19, alangkah baiknya sekiranya program pemberian vaksin juga dijalankan serentak setelah mereka disahkan negatif COVID-19.

“Jika ujian pengesanan COVID-19 dan juga pemberian vaksin dilaksanakan pada satu masa, bukankah ini lebih mempercepatkan usaha kita membentuk imuniti berkelompok dan tidak mustahil mampu menurunkan bilangan kes COVID-19 di negeri ini?, ” soal beliau.

Bung berkata demikian ketika dihubungi di sini bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai proses vaksinasi di negeri ini bagi mempercepat usaha pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.