info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Langkah Ringankan Beban Pengawalseliaan Operator Pelancongan Berlesen

51views

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini menggariskan langkah-langkah meringankan beban pengawalseliaan operator pelancongan berlesen dan membantu mereka mengekalkan perniagaan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Peraturan di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu adalah berkenaan permohonan pembaharuan lesen yang dibuat antara 1 Jan 2020 dan 31 Dis 2021 dan penambahan bidang dan cawangan yang tidak lagi memerlukan penghantaran laporan kewangan beraudit.

“Di samping itu, kelulusan permohonan memperbaharui lesen telah diselaraskan untuk tempoh dua atau tiga tahun dengan membenarkan operator pelancongan berkongsi ruang pejabat dalam jangka pendek untuk mengurangkan kos operasi,” menurut MPC dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata perubahan pengawalseliaan itu dilaksanakan berikutan kebimbangan yang disuarakan oleh pihak berkepentingan di bawah inisiatif #MyMudah.

“Kerajaan berharap perubahan ini akan memberikan fleksibiliti yang diperlukan operator pelancongan berlesen untuk terus mempertahankan perniagaan dalam mengharungi krisis COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Uzaidi Udanis selaku peneraju Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) berkata kelonggaran peraturan itu akan mengurangkan tekanan yang dihadapi operator pelancongan berlesen akibat kerugian besar daripada sekatan perjalanan dan sekatan pergerakan di Malaysia dan negara-negara lain di seluruh dunia.

TPN adalah perkongsian awam-swasta yang ditubuhkan di bawah Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia.

“Sebelum ini syarat-syarat pengawalseliaan ini bertujuan memberikan penilaian kepada perniagaan dan keupayaan operasi operator pelancongan untuk membina kepercayaan pengguna.

“Bagaimanapun, sejak krisis COVID-19 bermula, operator pelancongan kini tidak boleh menjana jualan akibat permintaan sifar-ke-rendah yang seterusnya menjejaskan aset mereka dan menyebabkan mereka perlu mengurangkan kos seperti sewaan pejabat,” kata Uzaidi.

Source link