Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaLanmei Airlines laksana penerbangan terus setiap minggu antara PNH Kemboja dan KLIA

Lanmei Airlines laksana penerbangan terus setiap minggu antara PNH Kemboja dan KLIA

SEPANG, 28 Mei (Bernama) — Syarikat penerbangan Kemboja, Lanmei Airlines akan mengendalikan penerbangan terus setiap minggu di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh (PNH) Kemboja dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkuat kuasa hari ini.

Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan penerbangan PNH-KLIA  pada setiap Sabtu.

Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Darren Chan Chee Seng berkata, syarikat penerbangan itu berhasrat meningkatkan kekerapan penerbangan daripada sekali seminggu pada masa ini kepada dua kali seminggu, dan seterusnya, melaksanakan penerbangan harian sekiranya menerima permintaan yang tinggi.

“Pengembara pada masa ini kebanyakannya terdiri daripada rakyat Malaysia yang pulang dari bekerja di Kemboja, kumpulan pelancong dari Kemboja yang melawat Malaysia, selain turut menghubungkan penumpang dari China ke Malaysia.

“Malaysia merupakan lokasi yang amat strategik (untuk pelancongan). Rakyat Kemboja kini lebih bijak untuk mengembara.

“Mereka mengembara ke Bangkok (Thailand), Malaysia dan Singapura pada masa ini untuk membeli-belah, dan dengan ekonomi yang berkembang di Kemboja, lebih ramai rakyatnya akan melancong ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan penerbangan sulung syarikat penerbangan itu ke KLIA di sini hari ini.

Hadir sama Atase Komersial Kedutaan Kemboja di Malaysia Hao Ann dan Timbalan Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan Malaysia Airports Holdings Bhd Mohamed Sallauddin Mat Sah.

Mohamed Sallauddin dalam ucapannya berkata, kewujudan laluan baharu Lanmei Airlines ke KLIA akan memperkukuhkan lagi kesalinghubungan udara lapangan terbang itu, dan seterusnya menggalakkan ketibaan pelancong di antara kedua-dua negara.

“Dengan adanya Lanmei Airlines di Malaysia, ia akan menjadi satu-satunya syarikat penerbangan berpangkalan di Kemboja yang memberikan perkhidmatan ke laluan tersebut, dan sebagai peluang untuk pertumbuhan masa depan.

“Ini adalah berita baik untuk Malaysia memandangkan perjalanan udara menunjukkan isyarat pemulihan dengan kelonggaran sekatan sempadan secara perlahan-lahan di banyak negara,” katanya.

Penerbangan Lanmei Airlines LQ770 berlepas dari Phnom Penh pada 2 petang dan penerbangan pergi balik LQ771 berlepas dari KLIA pada 6 petang hari yang sama.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular