Lantikan pengerusi, ahli lembaga pengarah GLC perlu dilakukan dengan teliti

PONTIAN, 26 Dis (Bernama) — Pelantikan jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang melibatkan badan berkanun persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dilakukan dengan teliti dan tidak tergesa-gesa, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, misalnya operasi GLC di bawah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) masih berjalan dengan baik di bawah pengurusan ketua pegawai eksekutif, barisan pengurusan tertinggi lain serta kakitangan syarikat meskipun jawatan tersebut belum diisi.

“Jadi kita menunggu arahan kabinet seterusnya (mengenai) bilakah jawatan itu akan diisi semula.

“Saya tahu bahawa di bawah MKD memang ada banyak syarikat yang terlibat dan peletakan jawatan itu telah dilakukan oleh pelbagai pihak, pelbagai parti,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan masyarakat setempat di Taman Seri Api-Api, di sini, hari ini.

Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian berkata pelantikan tersebut mungkin mengambil masa sebulan dua, yang merupakan tempoh yang munasabah.

“Ia (pelantikan) bagaimanapun tidak menjejaskan operasi syarikat-syarikat bawah MKD dan agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah, yang sebelum ini melibatkan lantikan ahli politik dan telah ditamatkan serta merta pada 14 Dis lalu.

Terdahulu, sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lantikan yang melibatkan MKD dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mahu melakukan penyelarasan untuk kesemua pelantikan berkenaan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button