Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaLapangan Terbang Sandakan bakal jadi pemangkin pembangunan

Lapangan Terbang Sandakan bakal jadi pemangkin pembangunan

SANDAKAN, 12 Jun (Bernama) — Lapangan Terbang Sandakan, yang telah siap dinaik taraf pada akhir tahun lepas, bakal menjadi pemangkin bagi menggerakkan pembangunan di daerah itu khususnya dalam sektor ekopelancongan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata projek bernilai RM80.9 juta itu diluluskan pada 2017 dan pembinaannya dimulakan pada 2019 antara lain melibatkan pemanjangan landasan sedia ada daripada 2.133 kilometer kepada 2.5 kilometer.

“Dengan adanya pemanjangan landasan ini, Lapangan Terbang Sandakan mampu mengendali pesawat kod C iaitu tanpa had muatan dan penerbangan hingga enam jam. Ini secara langsung boleh menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan komersial untuk terbang secara terus ke Sandakan.

“Ia juga akan meningkatkan kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara seterusnya menambah daya saing ekonomi, komersial serta pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan naik taraf landasan dan meninjau lapangan terbang itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Menteri Kerja Raya negeri.

Wee berkata usaha kini ditumpukan kepada menarik pelancong ke Sandakan dan menugaskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia memastikan mana-mana penerbangan ke Sabah tidak akan terlepas pandang Lapangan Terbang Sandakan.

Beliau berkata projek itu turut melibatkan pelebaran kawasan parkir pesawat, kerja naik taraf peralatan navigasi penerbangan dan penggantian serta penambahbaikan sistem pengurusan trafik udara di Wilayah Maklumat Penerbangan Kota Kinabalu.

“Pemasangan radar dan peralatan Automatic Dependent Surveillance-Broadcast di Sandakan telah ditambah baik dan ruang udara yang sebelum ini terlindung daripada liputan radar disebabkan oleh pergunungan Kinabalu dapat diatasi sepenuhnya.

“Malah data radar ini juga dikongsi oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia bersama Tentera Udara Diraja Malaysia yang bertanggungjawab memastikan ruang udara di Sabah dan Sarawak adalah selamat daripada pencerobohan anasir luar,” katanya.

Wee juga berkata beliau akan berbincang dengan kementeriannya mengenai keluhan rakyat di Sabah yang meminta pengecualian cukai jalan selama setahun setengah sepanjang pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya tidak akan janji bulan dan bintang kerana ia tertakluk kepada kemampuan kewangan negara memandangkan Kementerian Pengangkutan turut diberi kedudukan untuk mengutip pendapatan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan,” jelasnya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular