Lebih 100 jenis bunga bakal jadi tarikan Pesta Bunga Melaka

MELAKA, 23 Dis (Bernama) — Lebih 100 jenis bunga bakal menjadi tarikan pengunjung pada Pesta Bunga Melaka 2022 yang akan berlangsung di Taman Seribu Bunga, di sini bermula 29 hingga 31 Dis ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata pesta bunga bertemakan Pesona Warna Menggamit Dunia itu dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

“Selain bunga kesidang yang menjadi gimik utama pesta ini, pameran dan dekorasi hiasan bunga, hiasan lampu berwarna, bunga terapung, laluan pejalan kaki flora, catur gergasi, taman orkid dan spa flora juga menjadi antara komponen tarikan,”  katanya pada sidang media penganjuran Pesta Bunga Melaka 2022 di Taman Seribu Bunga, di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan negeri Saari Basiron, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Yeow Chin Chai dan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Muhammad Jailani berkata pengunjung turut berpeluang menyaksikan taman pameran oleh empat PBT di Melaka yang masing-masing membawa tema, hiasan dan keunikan tersendiri.

“Ramai tidak tahu setiap PBT di Melaka ada bunga rasmi tersendiri seperti heliconia atau sepit udang yang merupakan bunga rasmi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengenali nama pokok dan bunga dalam bahasa kita yang sebelum ini sering ditulis dalam bahasa latin,” katanya.

Sementara itu, Saari berkata setakat ini hampir 30 pempamer terdiri daripada pengusaha tapak semaian dan bunga mengesahkan penyertaan mereka pada Pesta Bunga Melaka 2022 tersebut.

Katanya jumlah penyertaan itu dijangka bertambah termasuk dalam kalangan pengusaha trak makanan memandangkan pesta bunga tersebut pertama kali diadakan dalam skala besar di Melaka.

“Selain pameran bunga, pelbagai aktiviti melibatkan pengunjung turut diadakan termasuk pertandingan gubahan sirih junjung dan gubahan orkid yang menawarkan hadiah seperti televisyen, motosikal serta peti sejuk,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button