BeritaEkonomiNiaga

Lebih Banyak Usaha Perlu Dilakukan Untuk Percepat Penerimagunaan Teknologi

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali berkata lebih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk mempercepatkan penerimagunaan teknologi kepada syarikat untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau berkata penerimagunaan teknologi memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi di pasaran buruh.

“Oleh itu, respons dasar yang bersesuaian adalah dengan menggalakkan dan menyokong peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada tenaga kerja sedia ada.

“Kita perlu memastikan para pekerja ini dibekalkan dengan kemahiran untuk melengkapkan teknologi baharu, berbanding digantikan olehnya,” katanya pada perasmian Program MyReskill IoT secara maya hari ini.

Lokman berkata, penubuhan Program MyReskill IoT oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia amat diperlukan untuk membantu pekerja sedia ada kekal relevan di pasaran buruh dan merangsang produktiviti di peringkat perusahaan, sektor dan negara.

“Ini juga merupakan peluang untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang menggunakan digital dan dipacu produktiviti.

“Memanfaatkan kelebihan teknologi dijangka menyumbang 30 peratus peningkatan produktiviti di semua sektor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan mereka bentuk dan melaksanakan campur tangan dasar yang efektif untuk menyokong transformasi ini.

“Pengenalan dasar Industri 4WRD oleh MITI, dilengkapi dengan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat negara dijangka memangkin pemulihan ekonomi melalui aplikasi dan penerimagunaan teknologi digital yang lebih tinggi,” katanya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button