info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Lelaki Didakwa Kerana Cederakan Rakan Serumah Teman Wanitanya

41views

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Seorang pembantu tukang masak dan teman wanitanya hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan pada bahagian kanan kepala dan lutut kiri rakan serumah mereka, tiga hari lepas.

Khairul Anwar Roslan, 26, dan Ales, 33, warganegara Indonesia, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Amalina Mohamad Kamal, 26, di dapur bilik sewa sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, Ampang, pada 2.30 petang, 20 Okt lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Khairul Anwar juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan niat hendak menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama yang merupakan suri rumah, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan bersalah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim menawarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapi Khairul Anwar dan  tiada jaminan ditawarkan kepada Ales kerana dia menghadapi pertuduhan tidak memiliki pasport di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

“Pihak pendakwaan juga memohon syarat tambahan supaya tertuduh (Khairul Anwar) tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam Izzy Aisyah Nabil, yang mewakili Khairul Anwar memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja di kedai makan dengan berpendapatan rendah.

Mahkamah membenarkan Khairul Anwar diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan supaya dia tidak mengganggu mangsa dan menetapkan 9 Dis untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sama untuk menjatuhkan hukuman terhadap Ales yang mengaku bersalah tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk menetap di negara ini.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan di lokasi dan tarikh serupa, pada 10 malam, mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga bertanggungjawab kepada sebatan tidak melebihi daripada enam kali.

— BERNAMA

Source link