info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Lelaki ditahan ugut cederakan bapa dengan parang

Gambar sekadar hiasan
45views

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Berang kerana dituduh menghisap dadah, seorang lelaki mengugut untuk mencederakan dan memotong bapanya dengan parang dalam kejadian di Taman Bukit Rawang Jaya, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata lelaki berumur 20 tahun itu ditahan awal pagi tadi selepas bapanya berusia 60 tahun membuat laporan di Balai Polis Rawang.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya yang memberitahu rakannya bahawa suspek menghisap dadah dan sering meminta wang daripada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, suspek ditahan kira-kira jam 2.15 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Rawang dan polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek untuk mengugut.

Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, dua lelaki ditahan kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis di kawasan Sungai Pusu, Gombak, awal pagi semalam.

Arifai berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Perdana enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan berhenti oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan.

“Pasukan polis telah mengejar dan berjaya menahan kereta itu di kawasan Desa Makmur, namun suspek berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan mereka,” katanya.

Kedua-dua suspek ditahan kira-kira 9.45 malam hari yang sama di sebuah rumah sekitar Jalan Gombak Batu 10, di sini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu tamat cukai jalan dan kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Isnin depan serta kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Source link