Berita

Lelaki Hilang Ditemui Mati Dengan Kaki Terikat Di Dalam Sungai

46views

TAWAU, 18 Apr — Seorang lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak malam Khamis lalu ditemukan tidak bernyawa di dalam sungai Kampung Inderasabah di sini, semalam.

Mayat Hazlan Abdul Hamid, 23, yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan itu pada 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua belah kaki mangsa terikat pada wayar hijau yang bersambung dengan besi pemberat.

“Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sementara menunggu keputusan bedah siasat yang akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Peter berkata, terdahulu laporan awal mengenai kehilangan mangsa dibuat bapa mangsa pada Jumaat, jam 12 tengahari selepas bimbang keselamatan anaknya yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, ahli keluarga bersama penduduk kampung juga telah melancarkan usaha mencari mangsa di kawasan sekitar namun gagal.

“Mangsa mempunyai masalah kesihatan (penyakit mental) dan dikatakan kerap merayau serta keluar berjalan-jalan tanpa tujuan,” katanya.

Source Link