info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Lelaki Mesir ditahan proses dadah di hotel

76views

KUALA LUMPUR, 18 Nov  — Polis menahan seorang lelaki warga Mesir kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dadah di sebuah bilik hotel di Kota Damansara, Petaling Jaya yang dijadikan makmal mini kegiatan itu.

Operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada malam Isnin lepas turut merampas dadah disyaki methamphetamine seberat 150 gram, alat memproses dadah serta wang tunai RM710, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM7,460.

Ketua JSJN Kuala Lumpur ACP Adnan Azizon berkata bilik hotel yang dijadikan makmal mini itu dipercayai disewa selama dua bulan dengan kadar RM700 sebulan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan turut positif dadah methamphetamine hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata hasil siasatan mendapati suspek yang berumur 44 tahun itu dipercayai aktif terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah methamphetamine di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warganegara Mesir dan keseluruhan rampasan dadah yang dijumpai boleh dibekalkan kepada 300 pengguna dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

— BERNAMA

Source link