
Lenovo Tab M9 Dilancarkan Dengan Skrin 9″ Dan Bateri 5100mAh
CES atau nama panjangnya Consumer Technology Association (CES) bakal membuka tirainya pada 5 Januari depan. Namun, Lenovo terlebih dahulu menunjukkan kehadiran tablet Android baharunya menerusi Lenovo Tab M9, yang mana sebuah tablet memfokuskan terhadap penggunaan harian.
Salah satu titik jualan utama tablet terletak pada saiznya yang memuatkan skrin sebesar 9-inci dan ketebalan tubuh sekitar 0.31-inci. Ia kemudiannya menyokong resolusi 1340 X 800 piksel dan ketumpatan piksel 176ppi yang agak sederhana prestasinya tetapi tidak menghairankan untuk sebuah tablet yang mampu milik.
Cip MediaTek Helio G80 digunakan sebagai tunjang utama. Pilihan memori pula sehingga 4GB RAM dan storan dalaman mencapai 128GB. Turut disertakan, bateri 5100mAh yang diiklankan mampu bertahan sehingga 13 jam penggunaan. Kamera utama pula sebesar 8MP, manakala kamera swafoto 2MP.
Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan Android 12 yang kelak turut menerima kemaskini Android 13. Dalam masa sama, dua pembesar suara dengan Dolby Atmos turut disertakan. Untuk harga, tablet ini dijual dengan harga $139.99 (~RM621) dan bakal dipasarkan sekitar suku kedua tahun 2023.