Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaLiga Premier: Dua gol Mintah julang Terengganu FC II di Cheras

Liga Premier: Dua gol Mintah julang Terengganu FC II di Cheras

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Terengganu FC (TFC) II menampilkan persembahan lima bintang apabila mudah membenam tuan rumah Skuad Projek FAM-MSN, 5-0, dalam saingan Liga Premier 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Ayam tambatan TFC II dari Ghana Jordan Mintah, muncul wira apabila meledak dua gol pada separuh masa pertama, untuk membantu pelawat mencatat kemenangan keenam mereka musim ini selepas sembilan perlawanan.

‘Kenduri’ gol TFC II dimulakan oleh pemain sayap lincah Mohd Faiz Nasir, apabila melepaskan sepakan kencang dari jarak dekat pada minit ke-4, sebelum Mintah menjadi duri dalam daging buat tuan rumah menerusi dua gol berturut-turut pada minit ke-17 dan 43.

Bersambung babak kedua, Skuad Projek FAM-MSN bermula dengan baik apabila Hazwan Hassan berjaya menghukum kesilapan mudah benteng pertahanan, untuk menolak bola  masuk ke dalam gawang TFC II pada minit ke-49.

Namun, selang dua minit kemudian, TFC II mematikan langkah tuan rumah untuk bangkit semula, menerusi jaringan keempat oleh Zuasyraf Zulkiefle manakala pemain gantian, Wan Fazli Ghazali mengesahkan tiga mata penuh buat mereka dengan gol kelima pada minit ke-80.

Kemenangan dilakar skuad kendalian Badrol Afzan Razali, menyaksikan mereka kini mengumpul 19 mata untuk kekal di tangga ketiga liga, manakala anak buah Hassan Sazali Mohd Waras pula yang masih mencari kemenangan sulung musim ini, di tangga kesembilan dengan satu mata.

Satu lagi aksi Liga Premier menyaksikan UiTM FC terikat 1-1 dengan PDRM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Tonggak tengah Muhammad Zharif Nazhan Refli, meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kedua sebelum pemain import Martin Adamec, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-30 dan kedudukan itu kekal sehingga penghujung perlawanan.

PDRM FC kekal di tangga keenam dengan 11 mata manakala UiTM FC pula di tangga kelapan dengan tujuh mata.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular