Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaLiga Premier: JDT II kutip tiga mata, tewaskan Selangor FC 2

Liga Premier: JDT II kutip tiga mata, tewaskan Selangor FC 2

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Pasukan Johor Darul Ta’zim ll (JDT ll) berhasil mengutip mata penuh selepas menang tipis 3-2 ke atas Selangor FC 2 dalam aksi Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di sini malam ini.

Pada perlawanan malam ini, Selangor FC 2 mengejutkan tuan rumah apabila meledak gol pendahuluan menerusi sepakan percuma Nik Sharif Haseefy pada minit ke-29.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah yang ketinggalan mula mengatur serangan balas dan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-53 apabila Fernando Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-53.

Enam minit kemudian, Rodriguez meletakkan JDT II di hadapan apabila mencetak gol kedua sebelum skuad bimbingan Rusdi Suparman menyamakan kedudukan melalui jaringan Khairi Suffian pada minit ke-76.

Ketika aksi memasuki masa kecederaan, Gabriel Nistelrooy muncul penyelamat buat JDT II apabila menjaringkan gol kemenangan.

Sementara itu, dalam aksi derbi Kelantan berlangsung di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kelantan FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan dengan Kelantan United.

Di KUCHING, Kuching City FC memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri untuk mengutip tiga mata apabila mengecewakan Perak FC 2-1 dalam aksi di Stadium Negeri.

Kuching City FC menjaringkan gol pertama pada minit ke-36 menerusi Alif Hassan diikuti Abu Kamara pada minit ke-59 sebelum Muhammad Hakimi Mat Isa menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 untuk gol tunggal Perak FC.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular